Rundingan PH,BN elak isu kerusi bertindih di Selangor

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor dijangka akan mencapai persetujuan secara konsensus soal pembahagian 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad berkata, bagi memastikan keputusan dicapai dengan baik, ia memerlukan satu bentuk rundingan dalam suasana yang harmoni dan tertib.

Malah, kata bekas Ketua Cabang Segambut berkenaan, masih terdapat ruang perbincangan antara PH dan BN dalam soal pembahagian kerusi DUN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

“Semua keputusan berkenaan soal pembahagian kerusi adalah terpulang kepada pucuk pimpinan oleh kedua-dua belah pihak untuk dicapai.

“Rundingan soal pembahagian kerusi mesti dilakukan demi memastikan tiada kesulitan berlaku dalam menghadapi PRN Selangor,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Idris berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Umno untuk diperuntukkan 22 kerusi pada PRN Selangor akan datang.

Mengulas lanjut, Dr Idris berkata, perbincangan perlu bagi mengelak sebarang pertindihan kerusi di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan yang mengakibatkan kerugian besar.

“Pucuk pimpinan tertinggi parti-parti komponen dalam PH dan BN perlu berbincang untuk mengelakkan berlakunya sebarang pertindihan kerusi yang merugikan.

“Rundingan pembahagian kerusi melalui perbincangan antara PH dan BN di peringkat negeri diadakan sebelum ke peringkat nasional untuk dimuktamadkan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan rundingan agihan kerusi dimuktamadkan pada 30 April lalu untuk dibawa kepada rundingan di peringkat pimpinan pusat PH dan BN.

Malah, Menteri Besar Selangor itu memaklumkan berlaku pertindihan kerusi antara PH dan BN negeri melibatkan 20 peratus daripada 56 kerusi, namun yakin perkara tersebut akan diselesaikan oleh pimpinan di peringkat pusat.

Berdasarkan komposisi semasa PH dan BN dalam DUN Selangor, PH dan komponennya mempunyai 41 kerusi dengan PKR (19), DAP (16) dan AMANAH (6), sementara BN pula mempunyai lima kerusi milik Umno.

BACA JUGA PH akan ‘bungkus’ Shahidan dalam PRN Selangor