Sanusi akan minta peguamnya urus bayar RM120,000 kepada Mahfuz

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan meminta peguamnya untuk menguruskan pembayaran kes saman fitnah sebanyak RM120,000 seperti dituntut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah turut menasihatkan Mahfuz agar bersabar kerana proses membabitkan guaman biasanya mengambil masa.

“Nasihat saya sabarlah dan rujuk kepada peguam. Saya akan minta peguam saya uruskan pembayaran dan ia akan diuruskan antara peguam saya dengan peguam Mahfuz, bukan Sanusi dan Mahfuz,” lapor BH.

Sehubungan itu, Sanusi berkata, Mahfuz perlu merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah itu dan bukannya meminta secara terus melalui rakaman video yang dimuat naik di laman sosial.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz itu akan diuruskan oleh peguam.

Minggu lalu, Mahfuz mengingatkan Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas pemimpin Pas itu belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Sehubungan itu, Naib Presiden AMANAH tersebut tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 jika tiada sebarang tindakan susulan dibuat oleh Sanusi.

Pada 3 April, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 ekoran hantaran dibuat Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.

BACA JUGA Sanusi pemfitnah nombor satu Kedah, kata Mahfuz