Sudah-sudahlah… Sultan Johor tegur gerakan cuba gagalkan kestabilan kerajaan

Sultan Johor menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus berkenaan kestabilan kerajaan yang terus kedengaran sehingga hari ini meskipun sudah enam  bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 dengan memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

Namun titah baginda, sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.

“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa,”

“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah Sultan Ibrahim dalam hantaran di Facebook malam ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sememangnya wujud konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan namun menegaskan ia sebagai tidak berasas.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, biarkan kumpulan dipanggil “pengigau” itu berterusan merancang komplot sebaliknya kerajaan akan terus menumpukan kerja utama terhadap negara.

“Komplot ada tetapi tidak ada asasnya, kita tumpu kerja. Kalau dia (pengkomplot) tak ada komplot, dia kerja apa? Maknanya dia jalankan tugas dia, setiap bulan dia ada strategi,” ujarnya.

BACA JUGA: Ada komplot nak jatuhkan kerajaan, Anwar kata “jangan layan pengigau”

Angka 126… propaganda murahan, bukti PN mabuk kuasa – AMK