Tuntutan harta RM2 bilion Jamaludin Jarjis: Penyelesaian diketahui petang ini

Penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya, akan diketahui statusnya pukul 2.30 petang ini.

Empat anak Kalsom adalah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla, manakala ibu mentua, Aminah Abdullah dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Menurut peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah, status itu sepatutnya diketahui semalam.

Walau bagaimanapun, jelasnya, ia ditangguhkan susulan peguam utama Kalsom, Datuk Sulaiman Abdullah, tidak dapat hadir prosiding kerana ada mesyuarat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Putrajaya.

“Kalau tak capai kata sepakat, kita akan minta mahkamah tetapkan tarikh bicara,” katanya dipetik BH selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd Hamid, semalam.

Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap harta termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah dan beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak itu dan Aminah, 89.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Allahyarham yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya.

Bekas Perdana Menteri yang kini dipenjarakan, Datuk Seri Najib pernah dilapor berkata, kekayaan dimiliki Allahyarham bertitik-tolak selepas bekas Ahli Parlimen Rompin itu membuka syarikat kejuruteraan pada tahun 1984.

Kata Najib lagi, dua tahun selepas itu, Jamaludin yang juga bekas Pengerusi Tenaga Nasional itu membeli syarikat EPE Power yang kemudiannya disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1990-an.

Tambahnya, syarikat dimiliki Jamaludin turut dianugerahkan projek penjana elektrik bebas (IPP) di Sabah sekitar 1990-an di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu selain beberapa projek penswastaan lain.

Â