Apa nasib Sirul selepas RUU Semakan Hukuman Mati diluluskan?

Australia boleh menghantar pulang bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata, Australia boleh berbuat demikian memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 sudh diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu.

Menurutnya, Australia sebelum ini tidak menghantar pulang Sirul ke negara ini kerana tidak mengiktiraf hukuman mati bagi kesalahan membunuh.

Namun, jelas Haniff, Australia kini mempunyai pilihan untuk menghantar pulang Sirul, memandangkan RUU itu memberikan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula rayuan 842 orang banduan hukuman mati.

“Bidang kuasa sudah diberikan kepada Mahkamah Persekutuan bagi semakan semula hukuman selaras pindaan undang-undang berkaitan.

“Namun, permohonan untuk mengkaji semula hukuman itu perlu dibuat dalam tempoh 90 hari daripada tarikh kuat kuasa akta berkenaan,” lapor BH.

Kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariiibuu pada Oktober 2006 menyaksikan Sirul dan seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015.

Kematian model berkenaan pada usianya 28 tahun di Mukim Bukit Raja di Shah Alam itu didakwa dilakukan dengan cara menembak dan meletupkan mangsa menggunakan bahan letupan C4.

Sirul yang kini berusia 52 tahun, sebelum ini pernah mendakwa dia telah dijadikan sebagai “kambing hitam” dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu untuk melindungi “rancangan mereka”.

Semalam, anaknya, Shukri Azam, 23, dilapor berkata, beliau dan bapanya tidak bercadang untuk pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk pembunuhan sudah dimansuhkan.

Lapor The Sydney Morning Herald, Shukri yang berusia enam tahun ketika Altantuya dibunuh, mendakwa dia bimbang nyawa bapanya akan terancam jika mereka pulang ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Haniff, berkata dalam hal itu, Sirul sememangnya tidak akan membuat permohonan untuk mengkaji semula hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya.

Beliau berpendapat Australia berkemungkinan menghantar Sirul pulang mengikut undang-undang negara itu jika Sirul menghantar permohonan mengkaji semula hukuman.

“Mungkin apa yang dikhuatiri adalah apabila Peguam Negara mengutus maklumat berkaitan perubahan undang-undang secara am dan memaklumkan kepada Australia bahawa Sirul sendiri boleh dan tidak mahu membuat permohonan penukaran hukuman berkenaan dan mempengaruhi keputusan negara itu dalam menghantarnya pulang,” kata Haniff lagi.