Laksanakan diskaun khas segera demi kesinambungan Menu Rahmah
Golongan peniaga memerlukan pelaksanaan dana khas pada kadar segera untuk memastikan kesinambungan Menu Rahmah pada harga RM5.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata pihaknya masih menanti tindakan susulan setelah pengumuman oleh kerajaan itu bagi membolehkan bahan mentah dapat dibeli pada harga yang lebih berpatutan.
Menurutnya, sekiranya bantuan itu dapat dilaksanakan segera, ia akan dapat membantu peniaga-peniaga yang menyediakan Menu Rahmah bertahan lebih lama dan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih lama.
“Saya harap ia (diskaun khas) dapat dilaksanakan secepat mungkin termasuk sokongan dan dukungan daripada kerajaan untuk membolehkan kita menganjalkan lagi program Menu Rahmah ini.
“Permintaan terhadap Menu Rahmah memang tinggi, diharap dengan bantuan daripada kerajaan menerusi diskaun khas untuk pembelian bahan mentah membolehkan program ini dapat diteruskan,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.
Pada 18 April 2023, kerajaan mengumumkan kadar pemberian diskaun khas bagi barangan mentah kepada pengusaha Menu Rahmah dengan kerjasama pasaraya terpilih bagi membantu meringankan beban kos pengeluaran yang ditanggung pengusaha terbabit.
Tambah Jawhar, sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan ia juga dapat memberikan peluang kepada pengusaha untuk mempelbagaikan menu lain untuk mengelakkan orang ramai berasa jemu untuk menikmati makanan yang sama.
Dalam pada itu, Jawahar yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju sekiranya ada cakap-cakap yang menyatakan bahawa Menu Rahmah tidak dapat bertahan lama sehingga mengakibatkan pengusaha gulung tikar.
“Itu kalau dia (penjual) hanya menjual satu sahaja menu contohnya nasi lemak berlauk ayam yang dulu dijual pada harga RM9 tetapi sekarang dijual pada harga RM5, memang tidak bertahan lama.
“Lainlah seperti kami memang ada kepelbagaian jenis makanan di samping tetap menjual minuman pada harga yang sama,” katanya.
Belia turut mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat besar mahupun individu untuk turut memberikan sokongan kepada inisiatif ini.
BACA JUGA: Menjelang Aidilfitri: Pengusaha Menu Rahmah dapat diskaun khas
Â