Mempolitik dan memperlekehkan semua yang dilakukan PMX

Alahmadulillah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kesepuluh (PMX) telah melangkaui tempoh 100 hari mentadbir negara. Beliau dan pasukan kabinet perpaduan membuktikan kemampuan dan kesungguhan yang terbaik terutama dalam menangani kemelut ekonomi dan memperbaiki sistem tatakelola negara.

Hutang negara yang telah melangkau RM1.5 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu adalah antara cabaran besar kepada pentadbiran beliau. Kemelut ekonomi dunia dan jatuhnya banyak industri dunia akibat pandemik COVID-19 adalah di antara cabaran kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Paling utama salah langkah kerajaan terdahulu yang mengisytiharkan “darurat kesihatan” tanpa memperdulikan langkah dan strategi untuk menangani isu kehidupan rakyat secara tuntas dan menyeluruh, merupa beban bagi PMX dan anggota kabinet. Maka, beliau perlu bertindak untuk membawa kembali negara kelandasan yang benar demi untuk rakyat dan negara.

Beliau dan kabinetnya menghadapi serangan demi serangan dari pihak pembangkang dalam apa sahaja isu. Dari isu bajet yang telah beliau bentangkan, pembasmian kemiskinan, tatakelola baik, penambah-baikan pentadbiran kerajaan, ekonomi, menu rahmah, ketegasan membasmi rasuah dan sebagainya; kesemuanya mendapat ‘hentaman’ negatif dari pembangkang.

Walaupun hujah mereka tiada data dan fakta, hanya perpaksikan retorik dan emosi, malah hanya dendam kebencian terhadap DSAI, jelas menunjukkan bahawa pembangkang ketandusan hujah untuk menjadi semak imbang kepada kerajaan.

Banyak kejayaan yang dicapai PMX ketika melawat Saudi.

Isu lawatan rasmi PMX ke Saudi antara yang dijadikan bahan untuk memperlekehkan DSAI. Strategi pembangkang sekarang adalah untuk membunuh karekter DSAI dan melunyaikan kredibiliti beliau.

Penulis pernah tinggal dan berkhidmat sebagai Professor di Universiti Taibah, Madinah, Saudi Arab berpengalaman sendiri menyatuni lawatan tidak rasmi beliau ke Saudi, sebaik sahaja beliau bebas dari penjara dahulu.

DSAI adalah sosok yang sangat dihormati dan dikenali di kalangan cendikiawan Saudi. Beliau juga menjadi sahabat karib kalangan keluarga Di Raja Saudi. Walaupun beliau hanyalah pada ketika itu bukanlah seorang menteri atau pembesar, namun DSAI mendapat penghormatan tertinggi di Saudi.

Beliau turut menyampaikan ucapan kepada ahli akademik, sarjana dan ahli ekonomi Saudi. Pada sebelah malam di antara kami yang berkhidmat di Saudi turut mendapat ‘syafaat’ boleh memasuki istana buat pertama kali untuk jamuan makan malam meraikan DSAI.

Begitulah hubungan akrab dan penghormatan kepada DSAI oleh keluarga DiRaja Saudi. Beliau diraikan pada ketika itu oleh Gabenor Madinah.

Terkini pula lawatan rasmi DSAI selaku Perdana Menteri Malaysia yang mendapat ‘kecaman’ dari kalangan bebarapa pemimpin pembangkang yang telah menjadikannya modal memperlekehkan DSAI. Tindakan yang dilakukan oleh ‘budak’ yang baru masuk politik dan juga beberapa pimpinan lama pembangkang, menampakkan kejahilan dan kebengapan mengenai hubungan diplomatik dan pengurusan lawatan rasmi pimpinan negara.

Lawatan rasmi terutamanya Yang DiPertuan Agong dan Perdana Menteri mestilah di mulai dengan persetujuan diplomatik. Kementerian Luar kedua negara akan bertukar dahulu “nota diplomatik’. Ini berkait dengan tujuan lawatan, agenda lawatan, sidang akhbar rasmi, mesyuarat dua hala, perjumpaan pemimpin utama kedua negara, rundingan-rundingan antara dua negara dan sebagainya. Setelah semua itu beres barulah persetujuan tarikh dimeterai, lokasi dan agenda lawatan dimuktamatkan.

Begitulah dangkalnya pemikiran pembangkang yang hanya mahu memperlekehkan YAB PMX dengan semberono, tanpa pengetahuan dan ilmu mengenai hubungan diplomatik.

Bermakna kesemua ini telah dibereskan oleh Wisma Putra dan barulah YAB PM meneliti dan mempersetujui aturcara lawatan itu. Jika ada perkara yang tidak boleh dielakkan seperti penangguhan atau penjadualan semula tentatif, semuanya akan dipersetujui semula dengan pertukaran semula nota diplomatik.

Inilah yang telah berlaku dalam jadual lawatan DSAI yang terpaksa dirombak di saat akhir memandangkan Raja dan Raja Muda Saudi telah meminta DSAI memanjangkan sedikit lawatan kerana baginda berdua terpaksa membatalkan jadual asal dan ditunda kehadapan kerana komitmen negara yang memerlukan kehadiran baginda. Namun DSAI tidak dapat memenuhinya kerana PMX juga mempunyai jadual yang ketat dan padat termasuk majlis iftar bersama SPB Yang Di Pertuan Agong, lawatan kerja ke Kemboja dan China.

Betapa dangkal sekali kenyataan dan ulasan terutama YB Machang yang tidak punya pengalaman pentadbiran dan pengurusan kerajaan terutama yang membabitkan urus tadbir diplomatik dua negara.

Namun, apabila DSAI dan delegasi berjaya dalam siri lawatannya ke Kemboja dan China, sidangkal ini membisu seribu bahasa. Di Kemboja, PMX dan PM Hun Sen bukan setakat membincangkan hubungan dua-halam Malaysia-Kemboja, tetapi turut membincangkan mengenai isu Myanmar, memperkukuh semula hubungan dua hala yang telah terjalin selama 66 tahun, menyaksikan beberapa pemeteraian Memorandum Persefahaman diantara dua kerajaan mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja bagi sektor domestik dan perbincangan pengukuhan ASEAN.

Kesemua perkara ini telah diabaikan oleh kerajaan terdahulu, yang lebih ‘berahi’ untuk mempertahan kekuasaan tanpa mendahului kemajuan negara.

Kejayaan yang besar ini telah mendapat ulasan meluas dimedia perdana Kemboja, namun tiada apa pun ulasan positif oleh pimpinan pembangkang terutama YB Machang. Ini menunjukkan mereka hanya memainkan retorik politik tempang, dangkal dan tidak berfakta.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi, 23 Mac 2023. – SADIQ ASYRAF/PMO.

Di China, DSAI memberikan ucapan yang amat dinamik dan progresif di BOAO Forum for Asia (BFA). BFA merupakan forum penting bagi 25 negara Asia dan Australia yang membincangkan agenda pembangunan dan kemajuan bersama negara Asia dan Australia. Forum ini juga seringkali disebut sebagai ‘Asian Davos’ kerana kemiripannya dengan World Economic Forum yang berlangsung setiap tahun di Davos, Switzerland.

DSAI telah menekankan kepentingan mempromosi intergrasi ekonomi serantau (regional economic integration) dan membawa negara-negara Asia lebih rapat dalam pencapaian agenda pembangunan. Perbincangan BFA kali ini tertumpu kepada ekonomi, integrasi, kerjasama, masyarakat dan alam sekitar.

Forum ini telah menampilkan kembali Malaysia dibawah kerajaan perpaduan sebagai sebuah negara yang dihormati dan meluncur kehadapan menjadi sebuah negara penting Asia. Mungkin ahli politik pembangkang tidak mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik untuk memahami resolusi BFA dan kepentingannya untuk negara Malaysia dan peranan Malaysia di Rantau Asia.

Lawatan PMX ke China telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China. Sebanyak 19 memorandum persefahaman dimeterai. Dialog bersama industri utama China juga telah dianjurkan dengan telah dihadiri oleh hampir 50 syarikat gergasi China. Syarikat/Industri ini telah menunjukkan minat melabor di Malaysia kerana keyakinan mereka terhadap dasar dan visi kerajaan perpaduan yang telah dibentangkan oleh DSAI. Ini akan memberikan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan negara untuk jangkamasa pendek dan panjang.

Kejayaan ini tidak pula mendapat sanjungan oleh pemimpin pembangkang, yang jelasnya hanya mahu bermain sentimen politik kosong dan dangkal tanpa memperdulikan kemajuan negara sepertimana yang mereka lakukan dalam kerajaan terdahulu.

Budaya politik ‘pembangkang tanpa faedah’ memang sangat ketara langsung tidak bermanfaat sebagai semak imbang dan berperanan sebagai sebahagian dari sistem bernegara. Apa sahaja polisi, kejayaan dan gerakan kehadapan YAB PMX dan kerajaan perpaduan semua diperlekeh dengan satu tujuan untuk meracun pemikiran rakyat.

PN dan pembangkang masih bermain angka untuk meruntuh kerajaan tanpa menghiraukan titah SPB YDPA bagi membentuk kerajaan perpaduan yang stabil, merosakan kredibiliti kepimpinan kerajaan melalui pembinaan persepsi buruk dan meremehkan usaha kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi dan insustri dengan pelbagai naratif tanpa maklumat dan data.

Apa sahaja usaha kerajaan bagi mereka adalah “tidak berguna”, membazir, tidak menyebelahi bangsa Melayu dan tidak adil.

Kini timbul pula isu angka “126” selepas menggunakan retorik cukup bilang pasca PRU-15. Entah dari mana angka ajaib ini timbul, kita tidak pasti. Yang pastinya usaha mereka walaupun diantaranya ada yang berserban tebal hanyalah untuk menjatuh, meruntuh dan memporak-perandakan kerajaan tanpa memperdulikan negara dan rakyat, demi kekuasaan dan kedudukan.

Mungkin demi untuk meraih pendapatan umpama Duta bertaraf menteri yang tiada apa-apa fungsi dan visi, melainkan untuk duduk dikerusi empok memakan hasil dari cukai rakyat!.

Oleh itu, rakyat terutama anak muda, wanita, dewasa dan seluruh rakyat dalam negara ini perlu sedar bahawa negara ini sedang ditadbir oleh sepasukan pimpinan yang perihatin, berwawasan dan sedang meluncur pantas dengan banyak kekangan yang telah dihasilkan oleh kerajaan tebuk atap terdahulu untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai negara berdaulat yang gemilang dari sudut ekonomi, perindustrian, perladangan, pendidikan, perdagangan, hubungan antara kaum dan masyarakat madani yang sejahtera serta adil.

Rakyat perlu menangkis usaha menjatuhkan kerajaan sediada oleh anasir-anasir yang gila kuasa, pangkat dan kedudukan. Malaysia Madani harus diangkat dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Apa sahaja usaha untuk meruntuhkan kerajaan yang sedang berusaha memulihkan kedudukan negara ini dipelabagi sudut adalah usaha “golongan hilang akal”.
——–

(*) Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pandangan penulisan dan tidak menggambarkan pendirian akademi.