Palsu, tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang disebutkan, kata Takiyuddin

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan dia ada mengeluarkan kenyataan media berkaitan sokongan terhadap presiden parti bulan itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, kenyataan media yang bertajuk ‘Sokongan Terhadap YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang Sebagai Perdana Menteri Malaysia’ adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak.

“Kenyataan media yang sedang tular masa ini adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak disebutkan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan media atas nama Takiyuddin yang antara lain memanjatkan kesyukuran kerana parti pembangkang itu akan diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Menurut kenyataan yang menggunakan kepala surat Pas itu, ia didakwa bagi mempersembahkan surat akuan bersumpah daripada 115 Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Hadi sebagai Perdana Menteri.

“Pas yakin dengan memiliki kepemimpinan serta ilmu yang tinggi beliau mampu memimpin Malaysia menjadi sebuah negara bertamadun dan disegani tanpa mengenepikan nilai-nilai Islam.

“Pas meminta rakyat untuk terus memberi sokongan terhadap kerajaan pimpinan ulama yang bakal dibina supaya tidak lagi berlaku sebarang pergolakan politik dan perebutan kuasa seperti yang sering ditimbulkan oleh Pakatan Harapan,” dipetik kenyataan tular yang disahkan palsu itu lagi.

Untuk rekod, tiga hari sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu, Abdul Hadi mendakwa pihaknya sudah mempunyai lebih dari sokongan ahli Parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Pusat.

Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, pihaknya hanya menunggu untuk diundang ke Istana Negara pada bila-bila masa sahaja.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi sebanyak 82 kerusi di Parlimen.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih sejumlah 30 Parlimen manakala Perikatan Nasional (PN) menguasai 73 Parlimen termasuk 22 kerusi dari Pas.

Â