Pas jadikan bangsa bukan lagi Islam sebagai asas perjuangan – Khalid

Pas nampaknya membawa dasar dan pendekatan baharu dalam gerakannya apabila menjadikan bangsa sebagai tapak perjuangannya dan bukan lagi Islam, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

Beliau berkata, perjuangan Pas sebelum ini yang dibina atas kekuatan akidah tanpa melihat pada bangsa dan keturunan bukan lagi menjadi pendekatan parti tersebut.

Khalid berkata demikian mengulas pertemuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’.

Menurutnya, Hadi memberikan justifikasi baharu mengenai kewajaran kerjasama dengan bekas musuh ketat kepada mantan Menteri Besar Terengganu sepenggal itu.

“Adakah terselit juga dalam kenyataan tersebut satu pengakuan bahawa penubuhan Pas itu sendiri adalah tersilap apabila keluar dari Umno pada tahun 1950-an dahulu?

“Bagi memberikan justifikasi kepada kenyataan itu, Hadi telah membuat tulisan panjang mengenainya hari ini.

Khalid Abd Samad

“Namun, sepanjang mana sekalipun tulisannya ianya tidak boleh menutup hakikat bahawa pemahaman terhadap perjuangan Rasulullah (SAW) hendak diberikan takrifan baharu semata-mata atas pendekatan baharu yang ingin dibawanya,” tegas Khalid menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Khalid berpendapat perjuangan Pas perlu ditolak memandangkan parti itu telah mentafsirkan Islam mengikut nafsu dan kepentingan politik.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan bahawa perjuangan yang dibawa oleh Hadi dan Pas sekarang terus berubah dan telah jauh lari dari perjuangan yang beliau dan rakan-rakannya yang kini berada dalam AMANAH fahami dan sokong dahulu.

“Kalau dahulu (ketika berada dalam Pas) kami menjadikan ‘Menggempur Pemikiran Assobiyyah’ sebagai tema muktamar, tetapi kini sudah tentu pemahaman ini sudah dibuang ke laut.

“Hadi sendiri nampaknya menyangkal segala asas-asas yang telah disepakati oleh Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Nor sebelum ini,” bidasnya.

Pemimpin Pas menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir.

Jelasnya, pendekatan Pas yang sekarang ini ingin dikaitkan dengan kaum dan bangsa bercanggah dengan ajaran dan sejarah perjuangan Islam apabila ramai para sahabat Rasulullah bukan daripada bangsa Arab dan kaum Quraisy.

“Ingat lagi atau tidak Hadi kepada mereka, seperti Bilal Al-Habsyi, Salman Al-Farsi, Syuib Al-Rumi, sebagai contoh?

“Patutlah ada ‘ulama’ mereka yang memutar-belit hadis sehingga mengistiharkan Bani Taa Mim sebagai Bani Tanah Melayu!

“Kalau ingin mengubah hala-tuju dan asas perjuangan sekalipun, janganlah cuba ubah ajaran dan sejarah Islam itu sendiri!” tegas Khalid.

Malah, beliau tidak menolak cakap-cakap warganet bahawa Pas pada masa ini mencari sumber kewangan baharu untuk membiayai parti ekoran pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Januari lalu.

“Selepas akaun bank Abah dibeku, mungkin kini Pas mencari Atok pula yang dananya masih banyak dalam akaunnya, tanpa mengira berapa harga yang perlu dibayar,” tambahnya lagi.