Pengundi PH akan beri kemenangan BN di Selangor

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menang seterusnya mentadbir kerajaan negeri Selangor.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Selayang, Mohd Shukry Roslan berkata, faktor kemenangan bersama itu adalah berdasarkan jalinan kerjasama antara BN dengan kerajaan PH yang memerintah Selangor.

Katanya, kesepakatan itu sekali gus memberikan BN peluang untuk menang di kawasan-kawasan yang akan ditandingi selain mendapat sokongan daripada pengundi.

“Menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada tahun 2019, sebanyak 49 peratus daripada penyokong PH bersedia memilih BN sebagai pilihan kedua mereka.

“Ini adalah peluang yang baik bagi BN untuk mendapatkan sokongan daripada penyokong PH di Selangor,” dipetik Umno Online.

Menurutnya, sokongan pengundi atas pagar kepada BN juga diperkukuhkan oleh faktor imej Perikatan Nasional (PN) yang semakin tercalar akibat skandal rasuah oleh pemimpinnya termasuk tindakan Pas merasuah pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Shukry berkata, berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (IPSOS) pula mendapati pengundi Selangor kini lebih mengutamakan faktor kepercayaan dan integriti calon berbanding dengan faktor lain seperti parti politik.

Ini katanya, memberikan kelebihan kepada BN yang mampu memperoleh sokongan pengundi dengan calon yang mempunyai imej yang baik.

“Dengan kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh BN, kemenangan PRN akan datang pasti menjadi kenyataan jika BN dapat menjalankan strategi dengan baik.

“PRN ini amat penting dalam menjadi titik tolak bagi BN untuk memperbaiki imej dan membuktikan bahawa parti tersebut masih relevan dalam arena politik negara,” katanya.

Tambahnya lagi, BN perlu menunjukkan kesediaan untuk memerintah dengan cara yang berkesan dan membawa perubahan yang positif kepada rakyat di negeri-negeri yang bakal mendepani PRN.

Selain Selangor, PRN kali ini melibatkan lima lagi negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

 

BACA JUGA PH akan ‘bungkus’ Shahidan dalam PRN Selangor