Perdana Menteri ucapkan Selamat Hari Wesak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha di negara ini.

Anwar dalam hantaran di Facebooknya berkata, sambutan Wesak adalah hari besar buat kalangan penganut Buddha bagi memperingati tiga peristiwa penting melalui satu perayaan (Trisuci Wesak).

“Perayaan ini bertujuan memperingati lahirnya pendiri atau pengasas ajaran Buddha yakni Siddharta Gautama, yang mencapai Penerangan Agung pada umur 35 tahun dan kemudian meninggal dunia pada usia 80 tahun.

“Penganut Buddha percaya bahawa untuk mencapai kebahagiaan tingkat tinggi atau Nirvana adalah dengan melawan dan membenam sikap keserakahan, kebencian dan kejahatan. Inilah falsafah yang sangat universal yang boleh diteladani dengan cermat.

“Sengaja saya singkap falsafah Hari Wesak sebagai usaha dan upaya memupuk kasih sayang, kemuliaan insan, prinsip hidup berdamping, hormat-menghormati dan hidup dalam keadaan aman dan berukun,” menurut Anwar.

Pemimpin nombor satu negara itu berkata perayaan dan budaya di Malaysia sepatutnya memberi keinsafan kepada seluruh rakyat supaya ia membawa mesej kasih sayang dan keamanan bersama persefahaman yang utuh sebagai jalan menghindari kebinasaan dan kepunahan tata hidup masyarakat majmuk di negara ini.

BACA JUGA: Sultan Selangor, Tengku Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Wesak