PN jilat ludah sendiri, bersekongkol dengan Dr Mahathir

Perikatan Nasional (PN) terdesak kerana bimbang menjadi kluster mahkamah dan itu menyebabkan mereka sanggup menjilat ludah sendiri dengan bersekongkol dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan ini sekaligus menunjukkan mereka tidak faham titah sultan Johor, kata Ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam.

“Hari ini kita lihat tindakan terdesak kawan-kawan dari Pas yang telah menghadap mahathir dalam usaha untuk memastikan bahawa usaha mereka menggulingkan kerajaan mendapat sokongan daripada bekas perdana menteri.

“Kita nampak gaya sahabat-sahabat kita bagai meludah ke langit, terpaksa jilat ludah sendiri.

“Apa yang berlaku kebelakangan ini menyebabkan Sultan Johor keluarkan kenyataan, bertitah supaya jangan ganggu gugat kerajaan. Sekiranya sekali lagi berulang insiden bertukar kerajaan bukan melalui proses pilihan raya, mangsanya ialah rakyat,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook miliknya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tindakan pimpinan Pas dan Bersatu yang menandatangani Proklamasi Orang Melayu, anjuran Mahathir.

Tak faham titah sultan Johor

Menurut Lokman, tindakan pemimpin tertinggi PN yang dahulu bermusuh dengan Mahathir, dan tiba-tiba hadir bertemunya, jelas menunjukkan bahawa ramai yang mahukan kerajaan tumbang supaya mereka selamat dari kluster mahkamah.

“Mereka ini sudah pasti tak akan faham bahasa dengan apa yang dititahkan Sultan Johor semalam.

“Mereka ini akan buat apa sahaja dengan harapan mereka akan terselamat daripada jadi kluster mahkamah,” ujarnya.

Tambah Lokman, pemimpin Pas tidak boleh dipercayai dan menasihatkan agar kerajaan berhati-hati dengan kumpulan yang terdesak untuk mendapatkan apa sahaja yang mereka mahu.

Menurut Lokman PN sepatutnya menggulingkan kerajaan melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya yang berlangsung lima tahun sekali.

“Sekarang kita nak berhadapan PRN, maka gunakalan platform di enam buah negeri itu untuk membuktikan bahawa Umno-PH gagal dapatkan sokongan rakyat.

“Cuba fikir secara logik apa tujuan PN dulu luluskan Akta Anti Lompat Parti? Tujuannya supaya ahli-ahli parlimen ini tidak jadi katak. Tak mengkhianati mandat rakyat.

“Tapi hari ini apa yang mereka cuba buat ialah menggalakkan Ahli Parlimen mengkhianati mandat diberikan rakyat Malaysia kepada mereka dengan menukar parti dan kemudian memberikan jolokan kewangan supaya mereka bersedia bertanding semula sebagai Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Terdapat desas desus bahawa seramai 15 orang ahli parlimen dari blok kerajaan akan meletakkan jawatan untuk memaksa pilihan raya berlangsung.

Walau bagaimanapun perkara ini hanya dijangka berlaku seusai pilihan raya di enam buah negeri.

Ada juga ura-ura bahawa PN telah pun mendapat sokongan 126 ahli parlimen dari sejumlah 222. Blok kerajaan terdiri daripada 148 ahli parlimen.