10,000 ahli parti bakal menghiasi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang akan berlangsung pada 14 Mei ini bakal menghimpunkan lebih 10,000 ahli parti dari 19 parti politik yang membentuk blok kerajaan.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen yang julung kali diadakan itu mengangkat tema ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ sebagai hala tuju gabungan tersebut.

“Konvensyen ini pentas terbaik untuk pimpinan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan tekad secara bersama bagi memastikan komitmen dan agenda yang akan dilaksanakan didukung sepenuhnya parti di semua peringkat,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata konvensyen tersebut akan bermula pada jam 10 pagi Ahad minggu depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, membabitkan dua persidangan yang berjalan serentak iaitu Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Ia disusuli dengan sidang bicara rakyat membabitkan tiga sesi, dengan setiap wakil parti akan membentangkan mengenai komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat. Ini akan bermula pukul 2 petang.

“Kemuncaknya adalah amanat daripada Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen yang akan diputuskan nanti,” katanya.

Dalam masa sama, konvensyen nasional itu akan dihadiri semua presiden parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain itu, ketika ditanya mengenai kesan konvensyen tersebut kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), Asyraf Wajdi berkata ia penting bagi memastikan kesepakatan pimpinan di peringkat pusat turut diterjemahkan ke peringkat akar umbi.

Jadi diharapkan melalui program ini, ia akan jadi titik tolak untuk mewujudkan persefahaman yang lebih utuh untuk mendapat matlamat yang lebih jelas dan kestabilan politik.

“Konvensyen ini kita tidak boleh harapkan kesepakatan di peringkat atasan sahaja, ia perlu dizahirkan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, kita tidak boleh mengharapkan kerjasama ini tidak ada salah faham. Perbezaan pandangan itu biasa,” ujarnya lagi.