148 ahli Parlimen kukuhkan blok Kerajaan Perpaduan

Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada 148 ahli parlimen masih utuh mendokong gabungan tersebut.

Ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan goyah.

Setiausaha Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, kesepakatan itu dibuat hasil daripada persefahaman dan perbincangan berkala, mengutuhkan lagi gabungan tersebut.

“148 Ahli Parlimen yang menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) masih lagi kekal utuh bersama Kerajaan Perpaduan.

“Hal ini kerana, sekretariat (Kerajaan Perpaduan) sentiasa terbuka mengadakan perbincangan dan rundingan.

“Ia bukan diadakan pada setiap bulan, bahkan setiap minggu siri perbincangan ini dibuat,” katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, hari ini.

Asyraf yang juga adalah setiausaha agung Umno turut mengulas berkenaan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei.

Menurutnya, konvensyen Kerajaan Perpaduan dengan tema ‘Madani: Mewajahi Malaysia Madani’ akan diangkat bagi memastikan hala tuju dan matlamat gabungan tersebut lebih jelas.

“Konvensyen pada 14 Mei ini akan menjadi titik tolak kepada ruang kolaborasi yang lebih utuh dan erat.

“Selain itu, ia juga memberi isyarat bahawa gabungan ini mementingkan kestabilan politik kerana kita tidak mahu lagi ketidakstabilan politik berulang semula,” ujarnya lagi.

Terdahulu, beberapa pemimpin pembangkang berulang kali membuat spekulasi mengenai Akuan Bersumpah (SD) mencukupi bagi membentuk kerajaan, namun dakwaan tersebut dinafikan oleh Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf turut mengulas berkenaan rundingan kerusi untuk pilihan raya negeri memandangkan timbulnya isu pertindihan kerusi.

“Semua ada pertindihan kerana sebelum ini, BN bertanding lawan PH, tetapi perbincangan sedang berjalan.

“Saya menerima laporan yang boleh dikatakan amat positif dan konstruktif,” tambah Asyraf.

 

BACA JUGA: Tiap minggu mengigau PM baharu, ada SD sila bawa ke Parlimen – Anwar