Kenaikan caruman KWSP: MTUC bidas DPMM
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas kenyataan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang mendakwa bahawa sejuta pekerja perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka diberhentikan sekiranya caruman majikan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditingkatkan.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata segala bentuk ugutan dan amaran daripada pihak majikan adalah hanya satu andaian yang tidak disertakan dengan data yang bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan.
“MTUC berharap cadangan kenaikan caruman KWSP berjaya direalisasikan dan perbincangan yang segera dengan pihak berkepentingan dapat dilakukan.
“MTUC turut menasihati semua pihak agar tidak memberi gambaran buruk terhadap cadangan ini kerana akhirnya yang mendapat kesan adalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam pemangku Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon, berkata kos operasi PMKS dijangka melonjak jika kadar caruman bagi majikan benar-benar dinaikkan sehingga 20%.
“Jika benar dilaksanakan, ia akan menyebabkan keadaan di mana mungkin setiap satu daripada sejuta PMKS itu terpaksa membuang sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi berhadapan kenaikan kos operasi, jadi sejuta juga pekerja bakal menerima tempias,” Norsyahrin dipetik berkata.
Pada 1 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membincangkan cadangan tambahan caruman KWSP bahagian majikan dari 13 peratus kepada 20 peratus.
Ia sebagai langkah mengatasi isu 71 peratus pencarum KWSP aktif berusia 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersara di atas paras kemiskinan negara susulan kebenaran empat pengeluaran khas KWSP semasa penularan wabak baru-baru ini.
Menurut Kamarul, cadangan penambahan caruman majikan dalam KWSP bukan untuk membolehkan pekerja memiliki rumah dan kereta mewah tetapi sekadar menampung kehidupan pada hari tua dan meningkatkan simpanan semasa persaraan nanti.
“MTUC menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menyemak caruman majikan di dalam KWSP yang akan meningkatkan kadar simpanan pekerja.
“Semakan caruman majikan wajar dikaji kerana kali terakhir caruman majikan dinaikkan adalah pada tahun 2012,” ujarnya.