Malaysia tetap buru Jho Low, usaha ekstradisi melalui rundingan diplomatik – PM
Kerajaan Malaysia tetap akan memburu ahli perniagaan yang terlibat dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho untuk dibawa pulang ke tanah air, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil mengakui proses itu sukar, Perdana Menteri memberitahu kerajaan telah mengadakan rundingan dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses membawa pulang ahli perniagaan itu.
“Sudah tentu (ingin bawa pulang secepat mungkin). Ia merupakan pendirian (kerajaan) dan kita amat tegas sejak hari pertama lagi,” katanya apabila ditanya jika kerajaan mahu mengheret Jho Low ke negara ini secepat mungkin untuk dibicarakan, lapor Malaysiakini.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri berkata rundingan secara diplomatik mengenai perkara itu memang dilakukan tetap Malaysia tidak pernah mendedahkan negara tersebut.
“Kita tahu kedudukan di mana dia (Jho Low) berada, dan kita berunding bagi mempercepatkan proses,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar enggan mendedahkan sama ada China merupakan antara negara yang terlibat dalam rundingan tersebut.
“Ia melibatkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, Interpol dan lain-lain. Negara-negara (tersebut) bekerjasama. Negara yang saya berhubung memberikan sokongan,” katanya.
Terdahulu penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ Bradley Hope mendakwa kerajaan dipercayai berunding dengan China untuk mengekstradisi Jho Low.
Memetik sumber, Hope yang menulis perkara tersebut dalam satu laman web untuk mengesan Low menyatakan rundingan tersebut diadakan semasa kunjungan rasmi Anwar ke republik itu pada Mac lalu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saidfuddin Nasution mengesahkan notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Low masih aktif.
Notis tersebut turut membabitkan lima individu lain dalam skandal 1MDB antaranya Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.