Mana satu jadi keutamaan, kuasa atau rakyat?

Mana-mana ahli politik yang sedang merancang untuk menggugat kestabilan kerajaan perlu berfikir semula adakah keutamaan mereka sekarang ini adalah rakyat atau semata-mata kerana laparkan kuasa.
ADUN Skudai, Marina Ibrahim memberi amaran agar ahli politik tidak menggunakan modal “menjaga kepentingan bangsa” untuk meraih populariti politik yang mana pada hakikatnya masing-masing sibuk mencari kuasa.
“Kepada ahli politik, cukup-cukuplah menggunakan modal soal perjuangan bangsa. Kita di Malaysia seharusnya meletakan kepentingan semua kaum di hadapan.
“Jangan gunakan “menjaga kepentingan bangsa” semata untuk meraih populariti politik. Hari ini bercakap soal kepentingan satu bangsa, masa nak undi berbicara soal kepentingan semua bangsa,” katanya kepada Harapan Daily.
Menurut Marina, rakyat sudah pun menderita akibat pandemik yang mana kini ekonomi negara masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya, bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun belum sampai setahun menjadi Perdana Menteri.
Justeru katanya, mengapa tidak diberikan peluang untuk Anwar dan kerajaan hari ini bagi memulihkan semula ekonomi negara supaya berada di landasan yang baik.
“Jika tidak puas hati dengan kepimpinan beliau, jangan risau. Lagi 5 tahun, untuk pilihan raya seterusnya biarkan rakyat buat pilihan. Rakyat ini semua cerdik, mereka pandai menilai,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menegur agar gerakan untuk menggugat kestabilan kerajaan dihentikan.
Pada masa sama, Marina turut menyelar tindakan beberapa pemimpin politik Perikatan Nasional yang menyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan bertemu dengan pengasas proklamasi itu iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Proklamasi Orang Melayu ialah agenda politik yang menghimpunkan ahli-ahli politik yang gagal membentuk kerajaan selepas PRU15, untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Marina, dalam mencapai impian untuk menjadi negara maju, kepentingan semua bangsa harus dijaga.
Marina yang juga merupakan penolong setiausaha publisiti DAP Johor itu turut memberi peringatan kepada mana-mana ahli politik supaya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
“Sebagai pembangkang mereka juga ada peranan yang penting dan tugasan besar sebagai penyumbang kepada pembangunan negara dengan cara menjadi semak imbang kepada rakyat bukan sibuk mengejar kuasa dan memporak perandakan kerajaan hari ini serta menimbulkan kekecohan.
“Masuk Parlimen pun ponteng, masih ada hati bercakap soal mereka fikirkan nasib rakyat.
“Biar rakyat tentukan selepas 5 tahun sama ada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar harus kekal atau sebaliknya,” katanya lagi.