Sandiwara Pas menangis di Dewan Merdeka, lepas itu khianati UMNO

Proklamasi orang Melayu yang ditandatangani pemimpin Pas bersama Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai satu sandiwara dan gimik politik semata-mata.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata sekiranya melihat kepada ‘track record’ sama ada Pas atau Dr Mahathir, kedua-dua mereka tidak boleh dipercayai.

PUAD ZARKASHI

“Pas pernah memeterai Proklamasi Muafakat Nasional bersama UMNO. Air mata membasahi Dewan Merdeka tetapi selepas itu Pas khianati UMNO kerana menyertai PN.

“Setahu kita Bersatu tolak kerjasama dengan Tun M. Maka sokongan beberapa pemimpin Bersatu secara individu tidak menampakkan kesepakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Puad berkata, apa yang menjadi persoalan sekarang ialah adakah Pas sudah buta sejarah tentang apa yang dilakukan Dr Mahathir sebelum ini.

“Persoalannya apakah Pas buta? Sepatutnya Pas tidak lupa Tun M menyokong ratifikasi ICERD dan Statut Rom. UMNO dan Pas terpaksa bergabung menghalangnya.

“Cukuplah sandiwara politik itu. Apatah lagi Tun M tidak memimpin mana mana parti politik. Proklamasi itu hanya provokasi untuk ganggu kelancaran Kerajaan Perpaduan,” katanya.

BACA JUGA: Pertemuan Hadi dan Mahathir: Ini ‘Kesepakatan Ahzab’