Sejarah tak pernah terpadam, Mahathir dan Hadi punca Melayu berpecah

Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu di negara ini, tegas Pengarah Strategik Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan, Onn Abu Bakar.

ONN ABU BAKAR

Justeru itu, beliau berkata parti politik di negara ini tidak mempunyai keperluan untuk menandatangani Prokmalasi Orang Melayu tajaan Dr Mahahthir kerana mereka berdua adalah punca pelbagai masalah negara sejak dahulu sehingga kini.

“Mahathir dan Hadi adalah punca orang Melayu berpecah-belah dahulu dan kewujudan Prokmalasi Orang Melayu adalah tindakan terdesak yang akan mengakibatkan kaum Melayu mencetus permusuhan.

“Sejarah tidak pernah terpadam dan dilupakan apabila Mahathir adalah punca kepada perpecahan orang Melayu sehingga mewujudkan beberapa parti manakala Hadi adalah disebabkan oleh amanat yang pernah dikeluarkannya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menjelaskan perpecahan politik dalam kalangan kepimpinan Melayu di negara ini adalah disebabkan oleh Tun Mahathir sendiri.

“Perpecahan berlaku apabila Mahathir bertembung dengan Razaleigh Hamzah sehingga mewujudkan Parti Semangat 46, kemudiannya dengan Anwar Ibrahim sehingga mewujudkan Parti Keadilan Nasional ketika itu.

“Tidak cukup dengan itu, Mahathir bertembung pula dengan Najib Razak sehingga mewujudkan Bersatu, ditambah pula dengan Mahiaddin Yasin sehingga mewujudkan Pejuang,” ujarnya.

Tambahnya, Hadi pula menjadi punca perpecahan dahsyat yang mendalam dalam kalangan masyarakat Islam Melayu selepas beliau membuat ucapan dikenali sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ suatu ketika dahulu.

Dalam pada itu, Onn turut mengingatkan rakyat di negara ini khususnya orang Melayu agar berhati-hati dengan perangkap melalui Promaklasi Orang Melayu sehingga mewujudkan kekeliruan sekali gus akan menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Terdahulu Presiden Pas, Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu yang ditaja oleh Dr Mahathir.

BACA JUGA: PN jilat ludah sendiri, bersekongkol dengan Dr Mahathir

Â