SPRM: 23 kakitangan kena tindakan termasuk 10 dipecat kerana salah laku

Seramai 23 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk diberhentikan kerja kerana terlibat dalam salah laku bagi tempoh 2020 sehingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM Datuk Dr Asariah Mior Shaharuddin berkata kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh anggota termasuk salah laku, cuai, tidak hadir bertugas dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 10 anggota diberhentikan kerja kerana terlibat dengan aktiviti jenayah dan majoriti daripada yang dikenakan tindakan tatatertib merupakan anggota baharu SPRM yang berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

“Walaupun jumlah yang dikenakan tindakan tatatertib adalah kecil iaitu 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota SPRM seramai 2,800 orang, ia tidak harus dipandang ringan kerana masyarakat menaruh harapan yang tinggi terhadap SPRM.

“SPRM harus dilihat bersih dan mempunyai anggota yang berintegriti tinggi dan tidak berkompromi dengan sebarang salah laku,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya baru-baru ini.

Asariah berkata JKA yang merupakan satu daripada lima jawatankuasa bebas yang ditubuhkan melalui Akta SPRM 2009, bertanggungjawab untuk memantau cara SPRM mengendalikan aduan yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawainya.

Selain itu, kata beliau JKA juga bertindak mengenal pasti kelemahan tatacara kerja yang mungkin menimbulkan sebarang aduan dan mencadang syor yang difikirkan sesuai.

“Sepanjang 14 tahun JKA ditubuhkan sebanyak 31 cadangan penambahbaikan prosedur operasi kerja SPRM telah dikemukakan dan yang terbaru melibatkan kawalan dalaman mengenai keterhutangan kewangan yang serius, kawalan dalaman mengenai kehilangan barang kes dan memperkukuhkan sistem pengurusan aduan dalaman SPRM,” katanya.