SPRM: Sekutu Jho Low dalam kes 1MDB, SRC dibawa pulang

Seorang sekutu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low yang turut terlibat di dalam kes 1MDB dan SRC International telah dibawa pulang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Individu yang terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB dan SRC tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 3Mei jam 3.30 pagi untuk membantu siasatan SPRM.

Sejurus selepas itu, individu tersebut telah diberikan notis arahan untuk ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi hari yang sama. Individu tersebut menghilangkan diri sejak 2018.

“Pegawai SPRM telah merakam keterangan (suspek) dan menggeledah rumahnya pada hari yang sama.

“Hasil siasatan menunjukkan dia dipercayai telah menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan SRC menerusi akaun syarikat bernama Wright Shaw Limited,” sumber dipetik berkata.

Individu tersebut turut menerima wang penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Dalam perkembangan berasingan, SPRM pada 26 April berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada sebuah syarikat, Totality Limited, milik bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee.

Menurut sumber, Tang terlibat dengan 1MDB ketika ia dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2021.

“Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan USD700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho,” kata sumber itu lagi.

Waran tangkap terhadap Tang telah dikeluarkan oleh SPRM seawal 29 Jun 2018 tetapi Tang masih tidak dapat dikesan.