WADAH seru tolak gerakan jatuhkan Kerajaan Perpaduan
Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyeru rakyat negara ini untuk tidak menyokong mana-mana pihak yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada seperti yang dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Presidennya Datuk Ahmad Azam Abd Rahman berkata sejak awal lagi Kerajaan Perpaduan sudah memulakan langkah untuk memulihkan ekonomi negara, menstabilkan politik nasional dan memantapkan integrasi negara ke dalam arus ekonomi antarabangsa.
Justeru itu, berdasarkan perkembangan awal yang positif, pihaknya menyeru rakyat Malaysia agar terus mendukung usaha dan aspirasi Kerajaan Perpaduan dalam tumpuan pemulihan selaras dengan titah Sultan Johor bahawa “ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan”.
“Gagasan Malaysia Madani adalah tunggak awal untuk memantapkan proses reformasi selain memulihkan institusi penting negara bagi membina kemakmuran rakyat dan mengembalikan negara kepada trajektori pembangunan yang jauh lebih unggul dan bermakna.
“Usaha-usaha inilah yang wajar didukung semua pihak termasuk gandingan mantap setiap masyarakat dengan kerjasama erat Kerajaan Perpaduan dan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azam yang juga bekas Presiden ABIM berkata WADAH menggesa agar rakyat tidak lagi mendukung mana-mana khalayak yang masih ingin meneruskan sebarang agenda politik lama, politik dendam kesumat, politik taksub perkauman, politik fitnah dan politik toksik.
Terdahulu Sultan Johor menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus gerakan cuba menggagalkan kestabilan kerajaan selepas berakhirnya PRU15 yang terus kedengaran sehingga ke hari ini.
Baginda bertitah, rakyat sudah menyuarakan suara mereka dengan memberi undi kepada 222 wakil rakyat namun gerakan menggugat kestabilan kerajaan dianggap “tidak sihat” kepada segenap rakyat.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titahnya dalam akaun rasmi Facebook baginda.
BACA JUGA: Sudah-sudahlah… Sultan Johor tegur gerakan cuba gagalkan kestabilan kerajaan