Jangankan RM150 juta, RM1.50 sen pun belum tentu Mahathir boleh dapat

Penulis buku politik, Shahbudin Husin berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad sudah agak terlambat apabila mahu mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah dan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Presiden PKR itu terhadapnya.

Ini kerana katanya, ucapan Anwar bahawa bekas Perdana Menteri untuk dua kali itu memperkayakan diri sendiri, anak-anak dan kroninya bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah mula diungkap sejak 1998 lagi sebaik Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Sepatutnya waktu itu lagi dan ketika beliau berjawatan Perdana Menteri, saman sudah dikemukakan terhadap Anwar.

“Meneliti saman tersebut, Tun Mahathir sebenarnya sudah agak terlambat untuk mengheret Anwar ke mahkamah.

“Kenapa hanya sekarang Tun Mahathir menyaman Anwar? Apakah baru sekarang beliau sedar dakwaan Anwar itu sebagai fitnah?

“Jika saman dilakukan pada waktu beliau memegang jawatan Perdana Menteri, peluang untuk Tun Mahathir memenangi kes pasti lebih tinggi kerana Anwar yang berada di luar kerajaan tentu menghadapi kesukaran untuk memperolehi bukti-bukti bagi menyokong segala dakwaannya, kecuali kalau memang benar beliau sempat melarikan berkotak-kotak dokumen sebelum dipecat pada 1998 dahulu,” katanya di Facebook.

Tetapi kata Shahbudin, apabila Tun Mahathir mengambil tindakan undang-undang ketika Anwar sudah pun menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kelebihan dikira memihak kepada Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Melalui jawatan yang dipegangnya sekarang, Anwar mempunyai akses langsung untuk mengorek dan mencari bukti-bukti terpendam di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan berkaitan Tun Mahathir.

“Takkan tak boleh jumpa satu dua bukti tentang apa yang Tun Mahathir lakukan untuk menolong anak dan kroninya ketika berkuasa dahulu?

“Sebab itu, peguam Anwar dalam responnya terhadap saman itu memberitahu, Perdana Menteri akan bertegas untuk membuktikan segala-galanya di mahkamah nanti.

“Dengan demikian, rasa-rasanya jangankan RM150 juta, barangkali RM1.50 sen pun payah Tun Mahathir nak dapat dalam tindakannya menyaman Anwar ini,” katanya sinis.

Pada Mac lalu, Anwar dalam ucapannya di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani didakwa telah menyebut tentang seorang bekas perdana menteri yang membolot kekayaan untuk keluarganyadan anak beranaknya.

Tanpa menamakan secara khusus siapa bekas perdana menteri disebutnya itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun hanya memberi gambaran menerusi angka ’22 tahun dan 22 bulan’.

Angka disebut Anwar itu dipercayai merujuk tempoh pentadbiran Mahathir selaku Perdana Menteri iaitu selama 22 tahun ketika bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), selain 22 bulan sewaktu menerajui pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Mahathir kemudian memfailkan saman menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi tauladan RM100 juta kerana mendakwa tuduhan berat yang dilemparkan itu memberi impak besar terhadap dirinya.

Selain itu beliau turut menuntut perintah antaranya Anwar dengan serta merta menarik balik dan memadamkan kesemua kenyataan itu serta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya.

Baca juga: Mana tindakan MAIDAM terhadap ahli politik berceramah di masjid? – PH Terengganu