MKT Umno beri amaran jangan ada MP kerajaan jadi duri dalam daging

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi peringatan agar tiada mana-mana Ahli Parlimen dari pihak kerajaan yang cuba menjadi duri dalam daging, bersekongkol untuk menggugat kestabilan kerajaan.

Beliau menyifatkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat itu adalah jelas sebagai teguran kepada pelampau politik yang tidak serik dengan pertukaran tiga perdana menteri sebelum ini.

“Teguran Sultan Johor itu bukan sahaja dituju kepada pihak lawan tetapi juga anggota Kerajaan Perpaduan demi kestabilan kerajaan.

“Maka jangan ada parti atau Ahli Parlimen di pihak Kerajaan Perpaduan membuat langkah menikam dari dalam.

“Jangan terbabit proses jual beli politik dengan pihak lawan,” katanya dalam satu kemaskini di Facebook miliknya pagi ini.

Menurutnya, titah Sultan Ibrahim cukup jelas bahawa provokasi, niat dan perancangan untuk menukar Kerajaan Perpaduan perlu dihentikan segera terutama oleh pihak lawan.

Lebih-lebih lagi apabila peluang sudah diberi melalui peti undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

“Teguran Sultan Johor amat wajar kerana idea Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan kebuntuan penubuhan kerajaan ketika itu. Pertahankan kestabilan,” tegasnya.

Terdahulu, Sultan Johor menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus gerakan cuba menggagalkan kestabilan kerajaan selepas berakhirnya PRU15 yang terus kedengaran sehingga ke hari ini.

Baginda bertitah, rakyat sudah menyuarakan suara mereka dengan memberi undi kepada 222 wakil rakyat, namun gerakan menggugat kestabilan kerajaan dianggap “tidak sihat” kepada segenap rakyat.

Umno juga pada hari ini mengulangi penegasan sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca juga: Sudah-sudahlah… Sultan Johor tegur gerakan cuba gagalkan kestabilan kerajaan