PRN: Agihan kerusi BN, PH hampir selesai – Zahid

Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) telah hampir selesai.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan mengenai agihan kerusi itu akan dibawa ke peringkat pusat untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.

“Saya yakin di peringkat negeri, kebanyakannya telah ada kesefahaman yang baik antara pemimpin-pemimpin parti dalam BN dan juga PH.

“Mana-mana kerusi yang akan diselesaikan antara parti-parti di dalam BN akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu, begitu juga saya yakin (dengan) parti-parti di dalam PH,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Melaka di Alor Gajah malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH akan mengadakan mesyuarat penyelarasan Kerajaan Perpaduan pada Ahad ini.

Jelasnya mesyuarat tersebut akan mendengar persiapan parti-parti bagi menghadapi PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan BN dan PH juga tidak memandang ringan persaingan dalam PRN di enam negeri memandangkan ia bakal mencerminkan manifestasi penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah segala persiapan dibuat dengan rapi dan yang penting adalah kerjasama antara jentera parti bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) serta lokaliti,” katanya.

BACA JUGA: Keputusan pengagihan kerusi BN-PH selepas pembubaran DUN