Tadika, taska Kemas perlu tangguh aktiviti luar jika cuaca terlalu panas

Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas.

KEMAS dalam kenyataan berkata kesemua tadika dan taska juga memantau aktiviti yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Selain itu, pusat asuhan kanak-kanak itu turut mengehadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.

“Tadika dan taska juga perlu memastikan bekalan air bersih mencukupi dan menggalakkan kanak-kanak membawa air minuman sendiri serta menggalakkan kanak-kanak mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.

“Semua tabika dan taska KEMAS dinasihatkan agar sentiasa mengikuti garis panduan aktiviti fizikal Kementerian Kesihatan (KKM) serta perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, maklumat terkini status cuaca panas juga boleh didapati di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

BACA JUGA: Fenomena cuaca panas: Ketahui bagaimana gelombang haba terjadi untuk elak strok haba