J-KOM tangkis serangan pihak cemar imej PM, negara

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan terus mempertahankan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dasar kerajaan daripada serangan pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof, berkata penerangan mengenai dasar kerajaan akan dikemukakan dengan hujah dan fakta yang mudah difahami rakyat.

“Imej Perdana Menteri perlu dipertahankan kerana ia turut membawa imej negara,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu diberi penjelasan dan kefahaman serta fakta yang betul mengenai dasar sedang dilaksanakan kerajaan.

“Kita bukan memusuhi sesiapa, tetapi akan menangkis pelbagai serangan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bertujuan mencemarkan imej Anwar dan negara.

“Jadi, kita akan memberi penjelasan dasar kerajaan terutama berkaitan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan Anwar dalam usaha memupuk masyarakat bertamadun dan menyemarakkan semangat perpaduan,” ujarnya.

Agus berkata demikian selepas menyampaikan ucap utama pada program Town Hall J-KOM bersama kepimpinan Kuala Nerus hari ini.

Sebelum ini, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkenaan mengakui J-KOM perlu bertindak agresif dalam menyampaikan idea dan gagasan besar Perdana Menteri.

Ujarnya, J-KOM tidak akan mengambil alih atau memainkan tugas pihak penerangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana ia ada fungsi dan skop tersendiri tetapi saling bekerjasama dengan Jabatan Penerangan dan Jabatan Media Pejabat Perdana Menteri (PMO).

 

Â