‘Jangan tukar tengah jalan, tak baik’

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan agar pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak bertindak menukar kerajaan sebelum pilihan raya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, tidak mengapa untuk mengkritik kerajaan sedia ada dalam usaha menjadikan negara ini ke arah yang lebih baik.

Mohamad Sabu

“(Kepada) yang tak setuju dengan Kerajaan Perpaduan tak apa. (Jika mahu) kempen nak maki kami, maki, boleh hentam dalam empat tahun setengah lagi rakyat sokong, kamu tukar pemerintah jangan tukar tengah jalan tak baik.

“Sebab itulah kalau boleh kalau ada kelemahan kami, bongkarkan buatlah apa program kalau rakyat terima jatuhkan melalui Pilihan Raya Umum akan datang itu cara yang paling baik,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Teluk Kumbar di Bayan Lepas hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, ketika ini kestabilan negara amat penting, terutamanya dalam meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus mengukuhkan ekonomi negara.