‘Kerajaan baru berusia lima bulan, tapi banyak perkara dilaksanakan’
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan, Kerajaan Perpaduan yang wujud pada hari ini umpama sudah lama berada dalam tampuk pemerintahan negara.
Ini kerana katanya, hanya dalam tempoh lima bulan pentadbiran, pelbagai perkara sudah dilaksanakan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya imbas kembali apa yang kita telah lakukan selama lima bulan ini. Pertamanya, sejurus kabinet dibentuk, dalam masa dua minggu sahaja parlimen sudah dipanggil untuk bersidang.
“Kerajaan Perpaduan juga telah diuji sekurang-kurangnya tiga kali. Bagaimana kita diuji? Hari pertama sidang parlimen, kita perlu mengundi speaker dan juga timbalan speaker.
“Hari pertama masuk ke parlimen, kita telah membuktikan keabsahan bahawa kita ada nombor yang cukup di parlimen.
“Selain itu, kita juga telah memenangi undi pelantikan Speaker (Datuk Johari Abdul) dan Timbalan Speaker (Alice Lau),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Konvensyen Tahunan DAP Johor, hari ini yang turut disiarkan secara penstriman langsung di Facebook rasmi DAP negeri itu.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu lagi, selepas undi speaker dijalankan, Datuk Seri Anwar sendiri telah mengarahkan supaya satu usul undi percaya dibentangkan di parlimen mengenai keabsahannya sebagai Perdana Menteri.
“Kita cabar pihak lawan dan kalau rasa Datuk Seri Anwar tidak absah sebagai perdana menteri, mereka boleh minta undi terhadap undi percaya.
“Tetapi pihak pembangkang tidak berani nak undi belah bahagi, seterusnya kita menang secara sebulat suara undi percaya Anwar sebagai perdana menteri.
“Semalam PM Anwar juga ada memberitahu kalau masih tak percaya, sidang parlimen akan dipanggil dua minggu lagi.
“Kalau pembangkang rasa mereka ada nombor, mereka boleh panggil undi tidak percaya pada sidang parlimen tersebut,” ujarnya lagi.
Mengimbas kembali apa yang dilakukan dalam tempoh lima bulan lalu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, kerajaan juga telah membentangkan semula Belanjawan 2023.
Beliau berkata, selepas sidang pertama parlimen dijalankan, Anwar telah memanggil semula untuk persidangan parlimen pada Februari sehingga awal April, bulan lalu.
“Kita bentang semula Belanjawan 2023. Belanjawan itu perlu diundi di peringkat dasar dan di semua peringkat jawatankuasa.
“Setiap hari akan ada undian dan Kerajaan Perpaduan pada hari ini telah berjaya melepasi ‘ujian’ tersebut,” katanya.
Â