Melayu dibimbangi diheret dalam kancah politik kebencian, dendam
Oleh DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Generasi demi generasi Melayu muncul mempertahankan identiti budaya dan gagasan sejarahnya.
Dalam kebangkitan itu lahir soal kuasa dan pemerintahan yang kerananya bangsa Melayu bergelut untuk menguasai tapak pemerintahan bermula daripada sejarah istana Raja-Raja Melayu hinggalah ke persada demokrasi berparti hari ini.
Pasca Kemerdekaan Malaya membuka pentas demokrasi dengan munculnya identiti politik orang Melayu yang bersaing antara satu sama lain untuk mendapat kuasa.
Sepanjang sejarah pasca kemerdekaan, Melayu berada pada agenda teratas dihidangkan atas dulang emas ekonomi, budaya, agama dan pendidikan tidak kira siapa yang menjadi kerajaan sama ada Perikatan, BN, PH, PN mahupun Kerajaan Perpaduan hari ini.
Mengambil kira jangka masa panjang pasca kemerdekaan hingga kini (60 tahun lebih), resolusi-resolusi, dasar-dasar dan keazaman politik yang ada pada pemimpin parti-parti politik Melayu, perjuangan Melayu sepatutnya berada pada tahap yang jauh lebih baik dari awalnya.
Ironinya, 2019 kita ada Kongres Maruah Melayu. 2023 kita ada Proklamasi Orang Melayu yang masih bercakap tentang “Orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara kerana gerai-gerai kecil mereka pun sudah diambil orang, “satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik juga terlucut dari tangan mereka” dan “nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka”.
Naratif berzaman ini dirumuskan dengan slogan yang klasik iaitu “Melayu perlu bersatu” dan “Melayu perlu bertaut”.
Biar saya tegaskan di sini saya tidak ada masalah dengan konsep Melayu perlu bertaut.
Namun, saya ada masalah kalau isu besar Melayu ini, “diswastakan” kepada kelompok tertentu dan paling mengecewakan individu yang menggerakkan ini adalah individu yang berada di puncak kuasa sebagai PM 22 tahun dan kali kedua 22 bulan.
Apakah dia membuat Proklamasi Orang Melayu ataukah Proklamasi tentang dua kali kegagalannya? Ataukah ia bermotifkan politik atas “dendam peribadi”?
Agenda Melayu pernah berada dalam acuan dasar DEB, kemudian Penerapan Nilai Islam, kemudian Hadhari, kemudian Wasatiyah kemudian Kemakmuran Bersama dan kini Malaysia Madani.
Sepanjang sejarah dasar-dasar ini agenda Melayu senantiasa dimartabatkan, masalah yang membantut usaha murni ini bukan isu Agenda Melayu tetapi masalah Ketirisan, Rasuah, Nepotisma dan Kronisme!
Sebab itu walaupun Tun M sudah bersara beliau bangkit dengan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016 untuk melawan skandal terbesar negara 1 MDB yang berlaku di bawah acuan Wasathiyah Najib.
PMX mengangkat Malaysia Madani dan ketegasan YAB membenteras rasuah dan memartabatkan integriti tidak dapat dipertikaikan.
Dalam era terkini, isunya bukan Agenda Melayu lagi tetapi bagaimana menyalut Agenda Melayu dengan nilai KeMampanan, KesejAhteraan, Daya cipta, HormAt , KepercayaaN dan Ihsan.
Khususnya nilai Ihsan yang menegaskan soal kebertanggungjawaban manusiawi dan menolak kebobrokan manusia perasuah yang hilang nilai Amanah dan tanggungjawab.
Malaysia Madani muncul berlatarkan hasrat Raja-Raja Melayu mahu melihat penyatuan, tautan dan perpaduan bagi melahirkan sebuah Kerajaan yang Stabil.
Bukankah pelik Proklamasi Orang Melayu dalam agendanya ke 11 dan 12 menyeru “ketepikan kepentingan diri; dan mengajak orang Melayu “Bertautlah semula demi Agama, Bangsa dan Negara”?
Bukankah Kerajaan Malaysia Madani lahir dari hasrat ke 11 dan 12 yang diproklamasikan? Apakah ada seruan yang lebih besar dari apa yang dihasratkan oleh Raja-Raja Melayu sehingga memerlukan Proklamasi Orang Melayu sekali lagi?
Saya kurang setuju Proklamasi Melayu bukan sebab saya anti-Melayu (sedangkan saya juga berbangsa Melayu), tetapi saya bimbang Melayu telah diheret kepada kancah politik berorientasikan kebencian, permusuhan, agenda peribadi dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan.
Paling saya bimbang ialah Agenda Melayu hanya diiktiraf ianya satu agenda apabila “aku yang menetapkannya”.
Sudah-sudahlah, marilah kita orang-orang Melayu semua bertaut atas kepentingan memerangi Rasuah, menstabilkan Kerajaan dan sudah-sudahlah orang Melayu dimangsakan oleh orang Melayu lain yang mudah lupa!
Â