Panggil rakan sekerja ‘sayang’ boleh kena tindakan tatatertib

Penjawat awam yang memanggil rakan sekerja dengan gelaran ‘sayang’ atau ‘dear’ boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Dalam satu surat edaran oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), panggilan oleh mana-mana pegawai awam yang mengganggu mangsa dikategorikan sebagai kesalahan gangguan seksual secara lisan.

Berdasarkan surat bertarikh 7 April itu, tindakan menyentuh, memegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati dan seumpamanya oleh penjawat awam pula adalah kesalahan gangguan seksual secara fizikal.

Turut dianggap melakukan gangguan seksual visual jika penjawat awam menghantar gambar tidak senonoh selain mesej berbaur seks atau ‘sexting’ menerusi platform seperti WhatsApp dan seumpamanya.

Menurut surat itu juga, mangsa perlu memaklumkan kesan akibat gangguan terbabit secara terperinci ketika membuat aduan seperti menyebabkan fikiran terganggu, perasaan kurang senang, rasa terhina dan sebagainya.