RM1 bilion termasuk bina jalan, infrastruktur pendidikan untuk Negeri Sembilan

Peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion diluluskan oleh kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan infra rakyat di Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia menjadikan keseluruhan jumlah peruntukan pembangunan disediakan Kerajaan Pusat khusus untuk Negeri Sembilan berjumlah RM1.27 bilion, berbanding lebih RM200 juta yang diperuntukkan sebelum ini.

Peruntukan pembangunan itu merangkumi projek membina jalan dan jambatan baharu, infrastruktur pendidikan, pembinaan rumah ibadah serta menaiktaraf Klinik Kesihatan daif.

Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar yang sebelum itu tiba pada jam 11 pagi, beramah mesra dengan rakyat yang telah mula memenuhi deretan gerai menyediakan pelbagai juadah Hari Raya.

Program yang akan berlangsung hingga jam 3 petang ini adalah siri ketiga Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani dihadiri Perdana Menteri selepas di Kedah selain di Pulau Pinang semalam.