Zahid ucap ‘selamat maju jaya’ kepada Azmin tawan Selangor

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara sinis mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang yakin Perikatan Nasional (PN) dapat menawan Selangor pada PRN akan datang.

Presiden Umno itu berkata, Pengerusi PN Selangor berkenaan perlu cerminkan diri terlebih dahulu kerana telah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu meskipun pernah berasa yakin menang.

“Saya mengikuti kenyataan dikeluarkan pemimpin pembangkang di Selangor yang amat yakin memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 58 kerusi akan ditandingi dalam PRN akan datang.

“Saya hanya nak ucapkan selamat maju jaya kepada Azmin, pada PRU dulu pun beliau sangat yakin untuk menang di Gombak. Tentunya pada PRN Selangor nanti, beliau mempunyai keyakinan tinggi,” lapor BH.

Semalam, Azmin berkata, PN Selangor yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang akan diadakan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, PN menguasai 14 kerusi manakala terdapat sembilan kerusi yang gabungan itu kalah kurang daripada 5,000 undi.

“Kita hanya perlukan dalam 1,000 hingga 2,000 undi sokongan dan dengan situasi semasa, saya yakin kerusi ini boleh ditawan PN.

“Ini menjadikan jumlah dalam tangan 23 kerusi. Maknanya untuk mencapai 30 atau lebih, satu perkara yang boleh diusahakan dan itu antara hasrat kita,” kata Azmin.