Isu bendera putih: Kes saman Dusuki terhadap Ustaz Ridzwan selesai

Kes saman fitnah yang dikemukakan oleh bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Ustaz Ridzwan Abu Bakar telah dapat diselesaikan secara damai hari ini.

Peguam mewakili Ahli Jawatankuasa AMANAH Kedah tersebut, Faiz Fadzil berkata, kes berkaitan isu bendera putih itu dapat diselesaikan melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Menurut Faiz, kedua-dua pihak bersetuju bahawa wujud kesalahfahaman berhubung status Facebook yang mengandungi kenyataan dalam bentuk video bertajuk, “Apa beza poster ada akaun bank Ustaz Dasuki dengan kempen rakyat Bendera Putih”.

“Ustaz Ridzwan bersetuju menarik balik status Facebook tersebut dan Ustaz Dusuki bersetuju menarik balik kes tanpa perintah untuk kos.

“Perintah persetujuan ini direkodkan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib,” katanya.

Dusuki yang gagal rayuan saman fitnah terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa minggu lalu, diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob hari ini.

Untuk rekod, kempen bendera putih yang diilhamkan Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Kelantan (AWAN), Nik Faizah Nik Othman atau Kak Jah di media sosial pada Jun 2021 mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Individu yang memerlukan bantuan akan mengibarkan bendera putih semasa tempoh sekatan perjalanan dan pergerakan akibat pandemik Covid-19 ketika itu.

Langkah itu membolehkan anggota masyarakat menghulurkan bantuan dengan segera kepada orang susah.