KWSP disaran tingkatkan pelaburan dalam negara kepada 70 peratus

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan kadar pelaburan dalam negara kepada 70 peratus agar ia memberi manfaat kepada pencarum selepas mereka bersara.

Saya lihat KWSP pelaburan tinggi 64 peratus dalam negara, saya cuma mahu agar pelaburan dalam negara mencecah 70 peratus.

“Untuk keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan sebahagian rakyat. Pelaburan betul strategik tapi infrastruktur strategik macam SMART Tunnel oleh KWSP, saya akui berkesan,” katanya lagi.

Beliau membuat saranan tersebut dalam ucapannya ketika merasmikan Menara KWSP Kwasa Damansara di Sungai Buloh.

Dalam pada itu beliau turut mengakui bahawa isu pengeluaran caruman KWSP akan terus dimainkan oleh pembangkang di dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).

Beliau mengakui pernah menyokong pengeluaran wang caruman ketika rakyat Malaysia berdepan dengan keadaan darurat ekonomi ekoran dari wabak Covid 19.

“Pada masa itu terdesak, darurat…Sekarang sudah berubah, sudah boleh bekerja.

“Saya percaya ini akan terus dimainkan termasuk di dalam enam PRN, namun kita tidak gusar,” kata beliau.

“Saya boleh popular dan membenarkan pengeluaran KWSP, tetapi adakah seorang yang bertanggungjawab boleh berbuat demikian?” katanya.

Perikatan Nasional mahu pengeluaran caruman KWSP bersasar dibenarkan tetapi pentadbiran hanya membenarkan simpanan KWSP digunakan sebagai cagaran untuk pinjaman bank.