KWSP: Kerajaan ambil keputusan tidak popular demi lindungi dana persaraan – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sanggup mengambil keputusan tidak popular dengan tidak membenarkan lagi pengeluaran dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri menegaskan langkah itu adalah bagi melindungi janji, ikrar dan matlamat asal dana persaraan itu.

“Kerajaan mengambil keputusan yang tidak popular saat ini yakni dengan memilih untuk melindungi janji, ikrar serta akad matlamat penubuhan KWSP iaitu menjadi tiang yang menopang kehidupan golongan pekerja di usia persaraan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan menyempurnakan perasmian angunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu dan juga majlis rumah terbuka Aidilfitri Mubarak KWSP di Kwasa Damansara, Sungai Buloh.

Anwar bergambar bersama kakitangan KWSP selepas merasmikan bangunan baharu KWSP di Kwasa Damansara, Sungai Buloh pada 8 Mei 2023. Foto Pejabat Perdana Menteri

Anwar dalam ucapannya pada majlis tersebut menyentuh mengenai rekod cemerlang KWSP sebagai badan berkanun yang bertanggungjawab menyelia dan mengurus dana simpanan hari tua kaum pekerja.

“Saya turut bangkitkan usaha serta tumpuan Kerajaan Perpaduan saat ini terutamanya dalam membasmi dan menoktahkan kemiskinan yang semestinya memerlukan dukungan dari badan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang berusaha yang terbaik dalam menekuni permasalahan gaji yang tidak meningkat bersekali dengan tahap produktiviti.

“Dan ia pastinya akan disusuli dengan tindakan dan kebijakan yang tuntas,” katanya.

BACA JUGA: KWSP disaran tingkatkan pelaburan dalam negara kepada 70 peratus