Pembahagian kerusi diserah kepada kepimpinan negeri – Anwar

Rundingan pembahagian kerusi untuk pilihan raya negeri di enam buah negeri akan dibuat oleh kepimpinan negeri sebelum dikemukakan kepada pusat, terutamanya untuk negeri yang dikuasai mutlak oleh pakatan tertentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tadi kita bincang tiada masalah (pengagihan kerusi di negeri yang dikuasai mutlak parti tertentu). Macam beberapa negeri dipimpin oleh Umno kita terima dan beberapa negeri lain yang dipimpin oleh komponen PH juga kita terima.

“Saya ingat ini bukan isu yang dipertikai tapi saya serah kepada kebijaksanaan kepimpinan di negeri yang harus memulakan rundingan secara lebih kemas dan kemudian mengemukakan (hasilnya) kepada pimpinan pusat,” kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam tadi.

Mesyuarat kira-kira dua jam itu turut dihadiri beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan antaranya Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.

Enam negeri sebelum ini sepakat membubarkan DUN masing-masing pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata meskipun persiapan PRN kali ini banyak melibatkan BN dan PH namun parti yang mempunyai cawangan atau gerakan di Semenanjung Malaysia turut dilibatkan sama dalam perbincangan sebagai menggambarkan kesepaduan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengenai isu lain, Anwar berkata Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada 14 Mei ini adalah percubaan pihaknya untuk terus mewujudkan semangat kemuafakatan dalam kalangan kaum dan wilayah di negara ini.

“Mesej kita ke seluruh negara ini ialah suatu percubaan yang unik dalam sejarah yang mengulangi usaha untuk mewujudkan kemuafakatan kaum dan wilayah bermula sejak peringkat awal kemerdekaan, kemudian pada zaman Tunku Abdul Rahman dan oleh Tun Abdul Razak.

“Kita harap percubaan (usaha) ini berkesan dan berhasil bagi menjamin kesinambungan, kelangsungan dan yang paling penting agenda rakyat itu dapat dilaksanakan dengan cukup berkesan,” katanya.