PN anjur Himpunan Tiktokers Kelantan menjelang PRN

Perikatan Nasional (PN) bakal mengadakan Himpunan Tiktokers Kelantan 24 Mei ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

Mengikut poster tersebar, syarat untuk menyertai himpunan penyokong gabungan pembangkang itu adalah perlu mempunyai lebih 1,000 pengikut di TikTok.

Peserta juga terhad kepada Tiktokers yang berasal dari Kelantan berumur 40 tahun ke bawah.

Dirancang berlangsung di Hotel Grand Renai, Kota Bharu, program itu dihadiri dua panel yang terdiri daripada wakil rakyat PN.

Kedua-dua mereka juga masing-masing merupakan ketua pemuda Pas dan Bersatu iaitu Ahmad Fadhli Shaari dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Fadhli adalah Ahli Parlimen Pasir Mas manakala Wan Ahmad Fayhsal merupakan Ahli Parlimen Machang.

“Jamuan makan malam menghimpunkan dan meraikan TikTokers Kelantan bersama pimpinan kerajaan negeri Kelantan.

“Cabutan bertuah menarik menanti anda,” dipetik dari mukadimah borang atas talian bagi menghadiri program tersebut.