PN usah ganggu kestabilan kerajaan pimpinan Anwar
Bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang memperingatkan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menganggu gugat kestabilan Kerajaan Perpaduan melalui pintu belakang.
Jelasnya, tindakan sedemikian hanya akan merosakkan peluang Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang maju.
“Perbuatan untuk terus menerus bercakap mengenai usaha untuk menumbangkan kerajaan Anwar dengan cara sebegini hanya akan merosakkan peluang Malaysia.
“Seperti apa yang dititahkan oleh Sultan Johor, ia bertentangan dengan usaha untuk mengutamakan pemulihan ekonomi dan kedudukan kita di mata dunia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Malah, pemimpin veteran DAP itu turut menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin membawa satu usul Parlimen bagi memuji prestasi baik oleh pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau Presiden Bersatu atau Pas.
“Sekiranya saya Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang, saya akan minta Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin untuk membawa satu usul dalam sidang Parlimen pada 22 Mei.
“Ia bagi memuji peningkatan 40 anak tangga yang dicatatkan Malaysua dalam Carta Kebebasan Akhbar RSF 2023 dan kedudukan negara kita melonjak dari tempat ke-113 ke tempat ke-73,” ujarnya lagi.
Tambahnya, lonjakan dalam Transparency International dan Indeks Persepsi Rasuah (TI CPI) dari tempat ke-61 ke kedudukan 21 tahun ini, wajar diberi perhatian.
“Sejak penerbitan TI CPI buat pertama kalinya pada tahun 1995, kita ditinggalkan bukan sahaja di belakang 10 negara teratas seperti Denmark dan Singapura.
“Tetapi kita juga ditinggalkan negara-negara seperti Rwanda, Arab Saudi, Croatia, Mauritius, Vanuatu, dan berada di kedudukan yang sama dengan Jordan.
“Indonesia juga telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan markah 34/100 untuk tahun 2022, sedangkan Malaysia pula yang mencatatkan markah yang lebih buruk dengan hanya 47/100 tahun lalu.
“Adakah kita hanya menunggu masa sahaja sebelum Indonesia memintas kedudukan Malaysia dan menunjukkan kepada seluruh dunia yang Indonesia lebih bersih dan kurang bermasalah rasuah berbanding dengan Malaysia?,” soalnya.
Susulan itu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri berharap TI CPI 2023 akan menjadi pemangkin buat negara untuk memelihara integriti awam dan memerangi rasuah.
Selain itu, katanya, usaha tersebut perlu dipupuk ke dalam jiwa rakyat Malaysia selari dengan Wawasan 2020.