Sidang terakhir DUN Negeri Sembilan sebelum bubar, beri laluan PRN
Sidang penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 yang diadakan hari ini merupakan persidangan terakhir sebelum ia dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada Julai ini.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata persidangan kali ini diadakan singkat iaitu sehari sahaja.
“Saya berharap ahli-ahli yang berhormat sekalian dapat memberikan perbahasan yang baik dalam persidangan terakhir hari ini.
“Saya menyeru kepada semua ahli dewan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang persidangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya perutusan Yang Dipertua Dewan dalam sidang penggal kelima DUN Negeri Sembilan ke-14 di Seremban hari ini.
Sidang dewan negeri tersebut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Jelas Zulkefly, beliau turut berharap dapat berjumpa dengan semua ADUN pada persidangan penggal depan.
“Semoga saya dapat berjumpa dengan semua pada penggal hadapan” katanya.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan 20 kerusi kini dikuasai kompenan parti PH dan baki 16 kerusi dikuasai gabungan BN.
Selain Negeri Sembilan, lima buah negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini.
Persetujuan itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pelarasan sebelum menetapkan tarikh bersesuaian untuk PRN.
BACA JUGA: Apo nak dikato? 10 kejayaan besar pentadbiran kerajaan PH di Negeri Sembilan