Sudah boleh perbaharui lesen memandu 10 tahun mulai hari ini

Orang ramai sudah mula boleh memperbaharui lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bagi  lesen yang telah tamat tempoh sejak 1 Januari 2018, mereka juga boleh memperbaharui lesen mereka sehingga 31 Disember ini tanpa perlu menduduki semula ujian memandu.

“Ambil peluang ini untuk pembaharui lesen anda secepat mungkin,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu Anthony melawat pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri  Sembilan  di Seremban untuk memperbaharui lesen memandunya selama 10 tahun.

Pada 3 Mei lalu, Anthony mengumumkan orang ramai boleh memperbaharui lesen memandu dengan tempoh maksimum sehingga 10 tahun berbanding lima tahun pada masa ini.

Katanya jika lesen memandu diperbaharui sehingga 10 tahun, bayaran yang dikenakan hanya untuk sembilan tahun sahaja.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban memberitahu, hanya pembaharuan 10 tahun sekaligus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun ke-10.

“Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui LMM untuk tempoh 10 tahun sekali gus akan hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja.

“Maksudnya ada diskaun 10 peratus, untuk makluman bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jikalau membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30.

“Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun,” katanya.

Inisiatif itu bermula hari ini dan orang ramai boleh memperbaharui lesen memandu mereka di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

BACA JUGA: Walau lesen tamat 2018, boleh perbaharui tanpa jalani semula ujian