Adakah parti politik dan rakyat boleh bersaing untuk jadikan Malaysia negara hebat?

Pertembungan Anwar-Mahathir akan menarik perhatian semua rakyat Malaysia, namun persoalan yang paling penting dalam negara hari ini adalah sama ada semua parti-parti politik dan rakyat Malaysia boleh bersaing untuk menaikkan ke Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang berjaya dan bukannya berlumba-lumba untuk menghumban Malaysia menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.

Di bawah Wawasan 2020, Malaysia sepatutnya akan menyertai 19 negara lain untuk menjadi negara maju dan kita sepatutnya telah mencapai KDNK per kapita AS$16,000 menjelang penghujung 30 tahun Wawasan 2020 ini.

Tetapi, pada tahun 2020, kita telah gagal untuk mencapai 70 peratus sekalipun dari matlamat KDNK per kapita Wawasan 2020 ini.

Tragis sekali apabila arkitek Wawasan 2020 ini sendiri – yang telah menjadi Perdana Menteri negara selama lebih dari 24 tahun – telah mengisytiharkan kegagalan Wawasan 2020 dan sembilan matlamat strategiknya, dan telah kembali kepada idea “Proklamasi Melayu” dan bukannya “Proklamasi Malaysia”.

Selepas 30 tahun, jumlah negara-negara maju telah berganda tetapi Malaysia masih belum tergolong dalam kalangan negara-negara ini.

Diaspora Malaysia di mana kira-kira dua juta rakyat Malaysia berada di seluruh dunia, menjadikan negara lain yang hebat dan bukannya Malaysia, adalah salah satu kegagalan Wawasan 2020, sembilan matlamat strategiknya, dan juga konsep Bangsa Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu diberikan perkara untuk dibanggakan mereka sebagai rakyat Malaysia, untuk mereka berbangga dengan negara ini dan pencapaian ini. Supaya mereka dapat berdiri tinggi di mata dunia.

Kerana inilah kita perlu bentuk sebuah bangsa Malaysia tunggal yang bersatu padu. Walaupun dibentuk dari pelbagai kaum dan agama, semua rakyat Malaysia perlu melihat diri mereka sebagai warganegara yang sama dari satu negara yang sama.

Walaupun kita berbeza asal usul, kita mempunyai masa hadapan yang dikongsi bersama. Kita mungkin mempunyai perbezaan politik, tetapi kesetiaan dan dedikasi kita terhadap negara perlulah kukuh. Kita semua, tanpa syarat atau had, sebahagian daripada Bangsa Malaysia – satu bangsa tunggal rakyat Malaysia, bersatu padu dengan kepelbagaian kita.

Atau, seperti yang dijelaskan sebelum ini:

“Bangsa Malaysia secara ringkasnya bermaksud rakyat perlulah melihat diri mereka, pertamanya sebagai rakyat Malaysia. Sebagai rakyat, anda memperkenalkan diri anda dengan negara anda dan oleh itu, anda tidak boleh menjadi Cina sepenuhnya atau India sepenuhnya dan masih menjadi rakyat Malaysia. Malah orang Melayu sendiri pun akan kehilangan sedikit kemelayuan mereka.

“Dengan peredaran masa, akan ada satu identiti bersama dalam negara kita dan identiti ini adalah identiti Malaysia, namun, untuk sekian lamanya, akan ada pelbagai cara untuk menjadi seorang rakyat Malaysia, termasuklah dengan menjadi seorang Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain, dan sudah tentu juga, dengan cara sebagai seorang Melayu.

Identiti Malaysia ini cukup inklusif untuk mengiktiraf dan merangkumi semua perbezaan ini. Orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain juga boleh (dan sepatutnya berhak) untuk menzahirkan identiti bersejarah mereka dalam cara masing-masing, tetapi bukan secara berasingan.”

Perikatan Nasional (PN) dan juga pihak Pembangkang tidak perlu untuk menyokong kerajaan perpaduan Anwar, tetapi kita semua perlulah bersaing untuk meletakkan Malaysia di tempat yang tinggi di dunia sebagai sebuah negara hebat yang bertaraf dunia dan bukannya berlumba-lumba untuk menjunamkan Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.

BACA JUGA: Saya mahu Umno lebih kuat dari Pas dan Bersatu, kata Kit Siang

—————————————————————————————————————————————————————————————————

LIM KIT SIANG ialah veteran DAP