Anwar beri ruang bebas kepada penerbit filem garap jadi lebih menarik

Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keseluruhan jalan cerita filem yang mengangkat kisah perjuangannya dalam arena politik tanah air, Anwar: The Untold Story.

Perdana Menteri berkata, beliau memberi ruang kepada penerbit dan pengarah filem biopik itu untuk menggarap jalan cerita supaya menjadi lebih menarik.

“Disebabkan ini adalah hasil seni, maka daya cipta dan kreativiti itu harus ada. Kita berikan ruang agak bebas (terhadap filem) kerana saya percaya dalam pembikinan hasil kreatif harus diberikan sedikit ruang kebebasan.

“Prinsip seni ini harus lebih bebas untuk memastikan kreativiti seni itu tercungkil. Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya tersentuh,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang media selepas tayangan perdana filem itu di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur malam tadi.

Dalam masa sama, Anwar mengakui adalah sukar untuk pihak produksi merumuskan keseluruhan kisahnya ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

Namun, Ahli Parlimen Tambun menyifatkan konteks yang diketengahkan dalam filem yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini adalah betul.

“Saya menonton filem ini buat kali pertama, tetapi selebihnya saya serahkan hak filem ini kepada penerbit. Filem ini bebas, kreatif dan jalan ceritanya juga temubual ramai orang. Sinematografi filem ini juga sangat baik.

“Peristiwa puluhan tahun mahu disingkatkan dalam satu jam lebih sudah tentunya tidak mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan kecekalan, kepintaran dan pengalaman pihak produksi,” ujarnya.

Filem yang dibintangi pelakon tersohor Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar itu diterbitkan oleh Bianglala Entertainment dengan kos sebanyak RM10 juta.

Menjalani penggambaran di Malaysia dan Indonesia, filem tersebut menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu, ciptaan Andi Rianto dan lirik nukilan Sekar Ayu Asmara.

Anwar: The Untold Story digarap berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

Turut membintangi filem ini Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad dan pelakon Indonesia Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.