Anwar ketuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Wisma Putra berkata, selain sidang tersebut, Anwar akan mengambil bahagian dalam perbincangan suamuka antara pemimpin-pemimpin ASEAN dengan perwakilan perhimpunan antara Parlimen ASEAN, belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

“Sidang kemuncak ini merupakan peluang Malaysia berkongsi dan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

“Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara berlatarbelakangkan ketidakstabilan, keselamatan dan sosio ekonomi di rantau ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Delegasi Malaysia turut diwakili Menteri Luar negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut memaklumkan, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT).

Beliau juga akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia– Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, yang dijadualkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.

“Selama di Labuan Bajo, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan di sela-sela mesyuarat dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN,” katanya.

Sejak mengambil alih sebagai pemimpin utama Malaysia, Anwar telah mengusulkan agar Myanmar dikeluarkan dari ASEAN.

Dalam perkembangan berkaitan Indonesia dan Singapura menerima kecaman kaedah pengurusan krisis Myanmar yang buruk.