‘Bomba pun tidak guna pili selesaikan masalah air di tempat mereka’

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berpendapat masalah bekalan air di negeri tersebut jelas berada dalam keadaan kritikal apabila ahli parlimen sendiri menggunakan air daripada pili bomba.

“Sebelum ini apabila sebut pasal air di Kelantan, ramai yang cakap atau mana-mana pimpinan Pas, bahawa ianya bukan masalah besar.

“Namun, apabila satu tahap ahli parlimen menggunakan air pili bomba yang sepatutnya digunakan ketika kecemasan, bermakna masalah air di Kelantan kritikal,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa rakyat Kelantan perlu tahu bahawa kerajaan negeri Kelantan gagal untuk menguruskan air sehingga ke hari ini.

“Mereka seolah-seolah sudah tidak ada pilihan sehingga terpaksa mengajar rakyat menggunakan air pili bomba yang sepatutnya digunakan untuk memadam kebakaran,” katanya.

Hazmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan ahli parlimen berkenaan yang didakwa menyediakan penghantaran air percuma di kawasan parlimen itu, dengan mengambil air pili bomba sebelum dihantar ke kampung terjejas.

Dalam pada itu, Jeming memberitahu beliau pernah beberapa kali berjumpa dengan pihak bomba di negeri berkenaan untuk menyampaikan sumbangan menerusi program Singgah Sahur pada Ramadan lalu.

“Untuk makluman, ada banyak kawasan atau balai-balai bomba yang menghadapi masalah air.

“Tetapi pihak bomba sendiri tidak mengambil atau menggunakan sumber air daripada pili bomba untuk menyelesaikan masalah air di tempat mereka,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan seorang ahli Parlimen pembangkang di Kelantan menggunakan air dari pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap ahli Parlimen terbabit kerana ianya adalah perkara tidak bertanggungjawab dan tidak sesuai untuk dilakukan mana-mana individu yang juga secara tidak langsung mempertaruhkan aspek keselamatan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, memaklumkan tindakannya menggunakan air dari pili bomba mendapat kebenaran pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Justeru, katanya, tidak timbul atau berbangkit sebarang isu kononnya beliau mencuri air daripada pili bomba kerana tujuannya berbuat sedemikian semata-mata mahu membantu rakyat.

Penjelasan itu menyusul selepas tular di media sosial foto beliau yang didakwa menggunakan air daripada pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air yang dialami penduduk setempat.

“Tiada berbangkit isu curi air… kami membantu rakyat yang kecemasan memerlukan air. Air itu adalah air AKSB dan mendapat kebenaran pihak mereka,” katanya seperti dilaporkan.

Bagaimanapun, pihak JBPM Kelantan memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan daripada Ahli Parlimen tersebut untuk mengambil air daripada pili bomba.

Pengarahnya, Zainal Madasain, berkata pihaknya turut menghubungi Pengurus Besar AKSB bagi mendapat maklumat.

“Pihak kami tidak terima sebarang permohonan daripada YB untuk ambil air daripada pili bomba. Terus terang saya cakap.

“Saya juga hubungi Pengurus Besar AKSB dan beliau maklumkan pihaknya juga tiada terima permohonan daripada Yang Berhormat (YB).

“Kita sudah buat laporan bagi siasatan lanjut berkait perkara ini,” katanya sebagai dipetik Harian Metro.