‘Calon MB pastinya dari Pakatan Harapan, tiada isu soal itu’
Proses pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor telah berlangsung dengan lebih kerap sejak bulan lalu bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Tumpuan utama terarah kepada kerusi Menteri Besar Selangor dengan beberapa nama menjadi bualan dalam kalangan penyokong parti politik.
Bagi PH, calon Menteri Besar tidak akan menjadi isu kerana individu yang dilantik itu akan dipastikan dalam kalangan mereka yang berwibawa dan terbukti boleh membangunkan ekonomi walaupun calon muda.
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri memberi bayangan seolah-olah PH akan mengekalkan MB sedia ada iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, namun berkata, ia tertakluk keputusan majlis pimpinan PH di peringkat Pusat.
“Saya ingat isu calon MB itu bukan isu yang besar kepada negeri Selangor. (Sama ada) tonjolkan (muka baru) atau kekalkan, bukan isu besar.
“Sekarang ini walaupun kita tonjolkan MB yang muda tapi dia boleh pikul tanggungjawab.
“Kalau tanya calonnya dari mana, PH atau BN, tentulah PH, sebab ini negeri yang diterajui PH selama tiga penggal.
“Tetapi ada pembahagian negeri-negeri di mana ada negeri yang akan diterajui BN, dan ada negeri yang akan diterajui oleh PH. Ada pembahagiannya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Kata Mohd Yahya atau juga dikenali Pak Ya, penentuan siapa Menteri Besar perlu dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan iaitu Majlis Presiden dan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Pada kita, di peringkat PH ini kita konsisten. Maknanya MB sudah tentulah dalam kalangan mereka yang punya kredibiliti, kemampuan, yang ada ketokohan memimpin ngeri Selangor.
“Kita mahu menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jauh lebih besar di masa hadapan dan mahukan pelabur lebih besar datang ke Selangor untuk kestabilan ekonomi,” katanya.
Pada masa sama, Pak Ya yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor berkata, pra-kempen menjelang PRN telah mula digerakkan sepanjang bulan Syawal ini.
Antaranya dengan mengadakan rumah-rumah terbuka sebagai persediaan membiasakan jentera untuk mendekati rakyat Selangor.
“Sekarang ini untuk memulakan pra kempen untuk mendekati rakyat, setiap tempat di peringkat DUN dan negeri, tiap-tiap hari ada majlis hari raya
“Ia sebagai memulakan pra kempen pilihan raya maknanya untuk pastikan bahawa setiap akar umbi ini bersiap sedia untuk menghadapi PRN.
“Selain itu kita memberi tumpuan kepada gerak kerja jentera dari segi persediaan bilik gerakan DUN, dan bilik gerakan daerah mengundi,” ujar Pak Ya lagi.