Filem ‘Anwar: The Untold Story’ suntik semangat reformasi

Filem Anwar: The Untold Story merupakan sebuah filem yang mengisahkan jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam politik terutama melawan rasuah di negara ini. Ia menyuntik semangat reformasi.

Beberapa pemimpin PKR dilihat turut hadir bagi tayangan perdana filem tersebut malam tadi di Pavilion, Kuala Lumpur.

Bagi Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa berkata filem berkenaan merupakan kisah benar perjalanan panjang sejarah perjuangan insan bernama Anwar Ibrahim yang mengangkat martabat rakyat.

“Secara peribadi filem ini menggamit kenangan mengusik jiwa 24 tahun saya sendiri dalam perjuangan kebangkitan reformasi kerana ada babak yang cukup menyentuh hati hingga membuatkan air mata bergenang tanpa sedar.

“Filem ini cukup menyuntik semangat menegakkan keadilan dan mencetuskan inspirasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Pada masa yang sama, Dr Zaliha yang juga Menteri Kesihatan turut mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda untuk menonton filem ini yang bakal ditayangkan pada 18 Mei nanti.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berharap filem lakonan Farid Kamil itu diharap dapat memberi inspirasi kepada pencinta keadilan.

“Saya ikut membantu pembikinan skripnya dan sebagai saksi hidup terhadap peristiwa 2 September 1998, tidak sukar untuk saya menyempurnakannya.

“Semua segar dalam ingatan tentang perjuangan seorang tokoh melawan rasuah dan membela rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurutnya, filem itu merupakan adaptasi daripada sebuah kisah benar perjalanan hidup Anwar Ibrahim yang mengangkat kisah perjuangan politik beliau.

Seorang aktivis politik, Wan Fauzuldin Wan Samad pula berpendapat bahawa secara keseluruhannya filem itu adalah amat bagus namun ia memerlukan kesinambungan.

“Filem ini kena bermula daripada awal supaya jelas dengan membawa kisah Anwar dari zaman pelajar termasuk demonstrasi Baling mahupun persekolahan di Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

“Banyak yang perlu diceritakan seperti saat kematian atau kehilangan ibu dan bapa Anwar ketika beliau masih di penjara kerana adanya emosi di situ,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, filem ini akan bertambah menarik sekiranya banyak penggambaran dapat dilakukan di Malaysia sendiri bagi menampakkan situasi di Kuala Lumpur seperti Dataran Merdeka, Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman (Sogo).

Filem Anwar: The Untold Story arahan Zunar dan dibintangi Farid Kamil telah ditayangkan khas semalam akan ditayangkan kepada umum pada 18 Mei.

BACA JUGA: Sayu derita kisah jatuh bangun Anwar dan keluarga