Mesin layan diri IPR diperluas, bantu B40 tambah pendapatan sehingga RM2,000

Mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan diperluas di luar Lembah Klang dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurutnya, pihak kementerian setakat ini mensasarkan 50 peratus mesin layan diri ditempatkan di beberapa universiti awam dan negeri lain seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah.

“Kerajaan mensasarkan sebanyak 100 pengeluaran mesin layan diri bagi bulan Mei ini.

“Kita mensasarkan 50 mesin ditempatkan di kampus dan luar Lembah Klang antaranya Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah.

“Selain itu, kerajaan juga akan memberi fokus di universiti awam atas sebab kejayaan projek rintis di Puncak Alam yang mendapat sambutan mengalakkan,” katanya ketika melancarkan mesin layan diri IPR di KL Sentral, hari ini.

Perasmian tersebut turut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi beliau.

Jelasnya, inisiatif itu sebahagian daripada iltizam kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan menyediakan alternatif perniagaan berteknologi.

“Inisiatif kita merentasi segenap lapisan rakyat. Berdasarkan rekod modul perniagaan, kita mampu menjana sekurang-kurang RM2,000 sebulan.

“Disamping itu, manfaat yang lebih besar untuk penerima program ini ialah mesin, kos sewa dan cas elektrik ditanggung kerajaan dan rakan strategik.

“Ia dilihat mampu memberi memberi peluang kepada pengguna yang terlibat dalam program ini sekali gus dapat mengurangkan beban kos sara hidup mereka,” ujarnya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu, pihaknya sentiasa memantau aktiviti jualan dan prestasi pelanggan di setiap lokasi bagi memastikan pengguna dalam program tersebut terus mendapat keuntungan perniagaan.

“Kelebihan program ini ialah kita bukan sahaja memberi kemudahan, malah kerajaan turut mendidik usahawan mengkaji pergerakan pelanggan dan membuat jangkaan bila mereka perlu menambah dan mengurangkan produk jualan.

“Ia secara tidak langsung usahawan dapat mempelajari aspek lain dalam perniagaan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan (B40) untuk terlibat dalam perniagaan dan mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000.

IPR merangkumi tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) bagi membantu golongan yang memerlukan keluar daripada garis kemiskinan.