Meski negeri termaju Selangor kekal komitmen bantu rakyat memerlukan – MB

Meskipun Selangor merupakan negeri termaju dan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia, kerajaan negeri mengekalkan komitmennya dalam membela kebajikan rakyat terutamanya mereka yang memerlukan bantuan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata menerusi 46 program Iltizam Selangor Penyayang, Kerajaan Negeri memberdaya kehidupan rakyat dan memastikan tiada yang tertinggal di negeri itu.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berkongsi kerajaan negeri kepada diaspora Malaysia di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) semalam.

“Alhamdulillah, saya amat gembira dapat berkongsi kejayaan negeri Selangor kepada diaspora Malaysia di San Francisco.

“Buat tiga tahun berturut-turut Selangor telah mencatat kejayaan kutipan hasil melebihi sasaran serta telah melancarkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), rancangan pembangunan lima tahun pertama oleh sesebuah negeri di Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Dalam pertemuan yang dihadiri para mahasiswa dan rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di AS, Amirudin mengalu-alukan pandangan dan pendapat dari mereka terutama bagi terus memajukan Selangor.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada diaspora Malaysia yang hadir dan juga penghargaan buat Restoran Koriander yang menyajikan juadah yang amat sedap dan istimewa,” katanya.

Awal bulan ini Amirudin mengetuai delegasi 11 syarikat pemula niaga teknologi di Malaysia menyertai sidang kemuncak pelaburan dan beberapa sesi pembentangan idea di AS.

Amirudin bersama Exco Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim juga menyertai mesyuarat meja bulat pelaburan anjuran Jabatan Perdagangan AS dan pejabat Gabenor California.

BACA JUGA: Imam, bilal, siak, guru takmir, KAFA Selangor dapat peruntukan RM56.5 juta