Pasukan khas ditubuh pastikan peralihan dwirangkaian 5G lancar – Fahmi

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membentuk satu pasukan petugas bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Bhd (DNB) berjaya mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata penubuhan pasukan petugas itu juga untuk memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar pada awal tahun depan.

Beliau berkata pasukan petugas itu akan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak sebagai setiausaha.

Katanya ia turut dianggotai DNB dan pihak penyedia perkhidmatan antaranya CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, dan YTL Communications serta pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.

“Adalah menjadi matlamat utama pasukan petugas ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

BACA JUGA: Dwirangkaian 5G diperkenal tahun depan, tamatkan unsur monopoli – Fahmi